Jika diibaratkan sebagai sebuah syarikat gergasi, rakyat adalah pemegang saham Malaysia. Mana mungkin pemegang saham tidak peduli bilamana syarikat mereka dirobek dan dirompak sekumpulan kecil yang berpeluk erat kepada kuasa.
Rakyat tidak peduli bila pengarah urusan mereka mencuri duit dan harta syarikat menerusi satu 'scheme to scam' atau pelan perancangan untuk merompak?
Mana mungkin rakyat tidak peduli.
Pastinya rakyat, termasuk lebih satu juta penjawat awam, tahu akan perjalanan sebenar pemerintahan ketika ini. Saya khususkan penjawat awam kerana para penjawat awam kita lebih memahami keadaan sebenar.
Penjawat awam tahu apa yang berlaku didalam dan pada masa yang sama turut mengharungi kesan keatas rakyat teramai.
Pastinya golongan cendiakawan di pusat-pusat pengajian tinggi dan profesor-profesor ulung universiti terkemuka negara juga sedar akan nasib kita pada hari ini. Jika keadaan semasa tidak cukup haru biru, halatuju negara juga bercelaru.
Gula-gula BR1M sangat berkesan kerana katanya rakyat menerima baik dan menghargai 'jasa' pemberi. Pasti ramai yang suka menerima duit secara percuma, tetapi apakah tujuan sebenar pemberian BR1M secara pukal kepada 7.1 juta orang?
Jumlah duit yang ditabur atas nama BR1M lebih RM5 billion ringgit. Sejumlah duit yang besar itu ditabur seperti mencurah garam ke laut. Apa faedah jangka panjang BR1M?
Dalam masa yang sama kehidupan seharian bertambah perit akibat peningkatan mendadak kos sara hidup. Harga barangan melambung naik secara berseluruh. Tambang pengangkutan awam naik. Tol naik. Ais krim batang di mini market kampung yang agak jauh dari bandar pun kena cukai GST.
Tangan kanan menghulur, tangan kiri meragut. Rakyat tidak peduli?
Sebenarnya rakyat amat peduli dan risau akan kerakusan golongan kecil penyangak yang berkuasa. Mungkin ada yang alpa dengan wayang kulit tetapi sebahagian besar nampak dalang disebalik pertunjukan.
Bekas Menteri Kewangan kedua pun peduli dan amat risau akan masa depan beliau dan rakyat Malaysia secara keseluruhan.
Dengar apa kata Datuk Seri Husni Hanadzlah yang baru beberapa bulan yang lalu melepaskan semua jawatan kerajaan dan jawatan Bendahari Umno.
Masa depan kita mampu diperbaiki jika kita, rakyat Malaysia, bersatu dan mempertahankan negara ini. Masa depan kita tidak akan berubah jika kita berdiam diri mengharapkan orang lain untuk bertindak bagi pihak kita.
Masa depan kita tidak akan bertambah baik jika kita seolah tidak peduli akan nasib negara sendiri.
Kepada mereka yang masih tidak peduli. Ingat! Nasib kita bergantung sepenuhnya pada negara bertuah ini.
Jika kita alpa, suatu hari nanti rakyat Malaysia akan terpaksa merantau menjadi orang gaji di Jakarta dan Manila. Tidak guna meraung menangis mengenang nasib bangsa Malaysia ketika itu.
Husni yang arif tentang ekonomi dan kewangan pun kuatir akan nasib kita. Husni yang satu ketika dahulu dilantik oleh kabinet Malaysia sebagai jurucakap 1MDB pun kini risau akan malapetaka yang dibawa skandal kewangan 1MDB.
Alhamdulillah. Husni tidak boleh dipecat sebagai ahli Dewan Rakyat. Husni dipilih rakyat Tambun (Perak) sebagai wakil mereka di Parlimen.
Tidak ada sesiapa yang memiliki cukup kuasa untuk mengatasi kuasa rakyat. Ini hakikatnya, jangan tak peduli.
p/s
Penjawat awam jangan gundah gulana,
Sumpah setia dan khidmat bakti anda adalah untuk negara.
Jangan tunduk pada pengkhianat durjana,
Ancaman dan ugutan tidak mampu bertahan lama.