Saturday, 6 February 2016

Bersatu selamatkan Malaysia


KENYATAAN YB TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN

Dalam beberapa waktu ini, saya mengambil sedikit masa untuk menyelami persoalan-persoalan yang sering berlegar di fikiran saya berkenaan hal-hal yang berlaku di negara kita pada waktu ini. Ikhlas saya katakan, sebagai seorang yang telah lama berkecimpung dalam dunia politik dan berpengalaman terlibat secara langsung dalam pentadbiran negara, tidak pernah terlintas di fikiran saya bahawa kita akan berada dalam situasi yang serumit hari ini.
Ke mana-mana sahaja saya pergi, pasti ada orang yang bertanya apa sudah jadi dengan Malaysia. Ternampak di wajah mereka satu perasaan yang sukar digambarkan. Kecewa, putus harap, bimbang, berang semuanya ada. Malah ada yang mengatakan bahawa mereka sudah naik mual dengan apa yang berlaku. Mereka sudah tidak percaya lagi kepada orang yang diamanahkan untuk memimpin kerana ramai yang mengkhianati amanah.
Ketika rakyat sedang bergelut dengan masalah kos sara hidup, beban cukai GST, kejatuhan nilai matawang, kehilangan pekerjaan, ada pemimpin yang disahkan menerima kemasukan wang berbilion ringgit ke dalam akaun peribadi, dan wang ini digunakan untuk perbelanjaan peribadi. Lebih menyedihkan, antara sumber wang ini adalah daripada syarikat yang mendapat dana daripada tabung awam.
Namun, amat pelik apabila penerimaan wang yang bersumberkan dana awam oleh seorang pemimpin negara tidak dianggap sebagai satu kesalahan. Malah, siasatan ke atas laporan salah laku dan rasuah melibatkan orang berkenaan diarahkan ditutup.
Apa sudah jadi dengan negara kita? Kita tahu bahawa sebelum ini terdapat penjawat awam, ahli perniagaan dan ahli politik yang disiasat, didakwa dan akhirnya dihukum kerana menyalahgunakan dana awam dan menerima rasuah. Tetapi dalam skandal kewangan terbesar di negara kita yang melibatkan 1MDB dan SRC International, tiada sesiapa pun didakwa.
Malah terdapat pihak yang secara terang-terangan mempertahankan dan melindungi salah-laku orang-orang tertentu walaupun saya tahu jauh di sudut hati mereka, mereka juga tahu apa yang berlaku.
Di manakah nilai kejujuran, kebenaran dan keadilan yang kita semua sanjung? Adakah nilai-nilai ini sudah tiada ertinya lagi? Adakah yang bertakhta cuma sikap rakus dan tamak haloba untuk merebut kesenangan dunia semata-mata?  Atau, adakah seluruh jiwa telah diselimuti oleh perasaan takut dan bimbang untuk menyatakan kebenaran dan menghapuskan kebatilan?
Saya perhatikan masalah besar yang sedang melanda negara kita ialah ketiadaan roh perjuangan untuk berpegang kepada prinsip-prinsip murni dalam kehidupan. Kerana itu berlaku masalah pecah amanah, tiada tanggungjawab terhadap rakyat dan mungkin tiada perasaan takut kepada balasan Allah s.w.t.
Kemelut yang berlaku nampaknya seperti tiada kesudahan. Misteri kehilangan wang dan harta negara tidak akan terungkai, walaupun bagi yang mengetahui ia seperti rompakan di siang hari. Pelbagai cerita akan terus direka untuk mengaburi mata rakyat demi melindungi salah laku individu tertentu. Keadilan yang ditagih tidak akan tertegak dengan mudah. Awan gelap akan terus meliputi negara kita untuk beberapa ketika.   
Walupun jelas tergambar perasaan duka dan kecewa di wajah orang-orang yang saya temui, termasuk sahabat handai dan mereka yang tidak saya kenali, jauh di sudut hati mereka masih menaruh harapan. Harapan agar Malaysia dapat diselamatkan. Supaya Malaysia kembali pulih dan tidak menjadi sebuah negara yang gagal.
Ini permulaan kepada satu perjuangan. Perjuangan untuk memulihkan Malaysia. Perjuangan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara lebih baik. Kerana kita semua berhak untuk menikmati setiap kebaikan yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada negara kita.
Jika bersendirian kita tidak akan punya kekuatan. Tetapi jika kita semua bersatu hati, membuka minda dan nurani untuk melihat kebenaran, melawan kemungkaran dan bertindak untuk menjadikan masyarakat dan negara kita lebih baik daripada hari ini, maka nescaya kita akan berjaya jua akhirnya.
Bagi saya, dalam hidup kita mesti ada prinsip. Prinsip yang paling utama ialah berpihak kepada kebenaran. Jangan sekali-kali kita berpihak kepada kebatilan. Sebagai seorang Muslim, ini adalah tuntutan agama.
Justeru, saya tidak akan berpaling daripada perjuangan menegakkan kebenaran. Saya yakin, seluruh rakyat Malaysia berpendirian yang sama dan saya akan terus bersama-sama anda dalam perjuangan ini!
Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa ke hadrat Allah s.w.t. mudah-mudahan kita semua sentiasa diberikan kekuatan oleh-Nya. Amin Ya Rabbal Alamin!
TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
5 Februari 2016

5 comments:

  1. Secara ringkasnya.., Najib kena disingkirkan secepat mungkin sebelum PRU14 melalui PAU. Angkat semula TSMY dlm jawatan kerajaan sebagai PM melalui PAU sebagai Presiden UMNO..

    ReplyDelete
  2. Usahlah berckp mengenai integriti, ketelusan, mengenai keikhlasan, kejujuran.... atau mengenai wang dana...dsgnya....

    Apa kuranya pihak Tan Sri semasa memerintah dulu? Apa dh jadi dengan quarters kerajaan di seluruh negeri Johor semasa tuan menjadi YB MB? Skrg semua kawasan berkaitan telah menjadi milik swasta.....

    So jgn lah berckp mengenai orang lain.... selidikilah diri sendiri dahulu....

    ReplyDelete
  3. Ini kes karut klasik; boleh kami menyoal: "Negara ini milik bapakmu kah"?

    ReplyDelete
  4. Xyah harap kat umno. Xde ape ape pun boleh buat. LA ni kita semua hanya boleh cakap..cakap..cakap. ITU jer. Salah cakap kena pau ... Pulak.

    ReplyDelete
  5. Ape lah sangat ngan kenyataan muhyiddin nie. Takat buat kenyataan tahap Kulup, Ali Tinju dan mamak2 pulau pinang pun boleh. Muhyiddin nampak mcm pemimpin bila ada jawatan kerajaan je. Bila kena buang hilang lansung ciri2 kemimpinannya. A true leader is one who excels through thick and thin, able to weather the storms, survive in good or bad weather and is able to fight back injured or wounded. You are not even close to the vicinity of a leader. You can only make hay while the sun shines.

    ReplyDelete

STICK TO THE TOPIC