Monday, 29 February 2016

Dr Mahathir keluar meninggalkan Umno Najib


Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keputusan beliau serta isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali untuk keluar meninggalkan Umno pada satu sidang akhbar sebentar tadi. 

Bekas Presiden Umno selama lebih dua dekad sejak tahun 1981 dan Perdana Menteri Malaysia dari 1981 - 2003 keluar Umno kerana parti itu telah hilang prinsip dan menyimpang dari matlamat penubuhan. 

Keputusan Dr Mahathir ini  menunjukan dengan jelas bahawa beliau lebih mementingkan nasib  rakyat dan negara daripada sebuah parti politik yang telah menyimpang jauh dari perjuangan asal dan sesat.

Ini jelas satu permulaan baru dan bukannya titik noktah dalam perjuangan untuk menyelamatkan negara tercinta dari pengkhianat dan kuncu-kuncunya. 

Perjuangan kita belum selesai.



Kenyataan Akhbar Dr Mahathir 



p/s - Umno now stands for Untuk Mohd Najib Only. Tak betul ? 






Saturday, 27 February 2016

KENYATAAN YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN


Majlis Tertinggi UMNO memutuskan untuk menggantung saya daripada jawatan Timbalan Presiden. Keputusan ini telah saya jangka. Ia bukan satu perkara yang mengejutkan.

Sejak saya digugurkan daripada kabinet, saya telah dihalang daripada menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden. Saya disekat daripada menghadiri program-program parti. Majlis parti yang dianjurkan untuk saya diarahkan supaya dibatalkan. Ahli-ahli parti yang menyokong saya diugut. Malah, buat pertama kali dalam sejarah, seorang Timbalan Presiden dihalang daripada berucap dalam perhimpunan agung.

Sepanjang enam tahun saya memegang jawatan Timbalan Presiden, saya tidak pernah mengabaikan tugas dan tanggungjawab saya membantu Presiden. Saya mengetuai jentera pilihanraya BN dalam setiap kali pilihanraya kecil atau pilihanraya umum dan bekerja keras untuk memastikan kemenangan BN. Dengan kemenangan itulah, maka Presiden selaku ketua parti kekal menjadi Perdana Menteri. Tidakkah itu bermakna saya membantu Presiden?

Saya juga melakukan tugas-tugas lain seperti mempengurusikan mesyuarat pengurusan UMNO, mesyuarat pengurusan BN, menyelesaikan masalah-masalah parti, memantapkan jentera pilihanraya, turun ke bahagian-bahagian dan tugas-tugas untuk memastikan kesempurnaan perjalanan parti. Ini bermakna saya telah membantu Presiden dalam mentadbir dan mengurus parti.

Saya juga bertanggungjawab menyampaikan pandangan dan keluhan ahli-ahli kepada Presiden serta menegur Presiden jika dia melakukan tindakan yang menjejaskan kepentingan UMNO. Inilah yang saya lakukan apabila saya menegur Presiden berhubung pembabitannya dalam skandal 1MDB dan derma RM2.6 billion.

Semua ini saya lakukan dengan niat untuk memastikan kesempurnaan perjalanan parti dan mengembalikan kepimpinan UMNO ke landasan yang betul supaya UMNO terus diterima oleh rakyat. Tetapi saya telah dihukum kerana kononnya saya tidak membantu Presiden.

Adakah membantu Presiden itu bermaksud menyokong Presiden secara membuta-tuli termasuk mempertahankan kesalahannya? Saya tidak fikir begitu. Jika Datuk Seri Najib melakukan kesalahan, maka wajib bagi saya dan yang lain-lain di dalam UMNO menegurnya dan meminta dia memperbetulkan kesilapannya demi kebaikan parti. Jika dia berterusan melakukan kesilapan, dan semua orang di dalam UMNO bersekongkol mempertahankan kesilapannya, maka kesan buruk akan terpalit kepada UMNO.

Hari ini tercatat dalam lipatan sejarah UMNO, seorang Timbalan Presiden yang dipilih dalam pemilihan parti digantung daripada jawatannya oleh MT semata-mata kerana tindakannya menegur Presiden. Nampaknya, kuasa MT mengatasi suara ahli-ahli parti yang memilih saya sebagai Timbalan Presiden.

Ketika pindaan perlembagaan UMNO dibuat untuk membolehkan ahli-ahli di akar umbi memilih pemimpin utama parti, UMNO dicanang sebagai sebuah parti yang paling demokratik di negara ini. Tidak ada mana-mana parti di Malaysia yang membuka ruang seluas-luasnya kepada lebih 140,000 perwakilan dari seluruh negara memilih pemimpin-pemimpin utama parti.

Namun, keputusan MT hari ini langsung tidak memperlihatkan UMNO sebagai sebuah parti yang demokratik. Suara majoriti ahli, malah majoriti rakyat, diketepikan dengan sewenang-wenangnya oleh MT semata-mata untuk mempertahankan seorang individu yang terpalit dalam skandal rasuah dan penyelewengan yang amat memalukan.

MT gagal menangani krisis kepimpinan parti yang berpunca daripada penglibatan Najib dalam skandal IMDB dan derma RM2.6 bilion yang tidak dijelaskan dengan sepenuhnya oleh beliau. MT tidak berani bertanya Najib jika benar RM2.6 bilion itu wang parti, kemana perginya wang itu selepas akaun ditutup pada 2013. MT juga tidak bersedia bertanya Najib mengenai tuduhan wang SRC International berjumlah RM42 juta yang masuk ke dalam akaun Najib. Skandal yang menyelubungi Najib telah memberi imej yang amat teruk kepada parti, kerajaan dan memalukan rakyat.

Mengenai wang yang dikatakan masuk ke akaun peribadi Najib dari SRC International, saya diberitahu mengenainya oleh mantan Peguam Negara sendiri beserta dengan buktinya sekali yang sah merupakan suatu perbuatan jenayah! Saya beristighfar!

Yang terbabit dalam skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion bukan saya, tetapi Najib. Yang menerima RM42 juta duit SRC International bukan saya, tetapi Najib. Yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berhadapan dengan risiko pendakwaan jenayah bukan saya, tetapi Najib. Yang ditolak oleh sebahagian besar rakyat bukan saya, tetapi Najib. Yang menjadi punca segala masalah UMNO hari ini bukan saya, tetapi Najib. Peliknya, yang digantung adalah saya, manakala Najib terus bersenang-lenang menikmati kuasa jawatan dan wang yang ada padanya.

MT lebih mementingkan soal teknikal dalam mengambil tindakan terhadap diri saya daripada meneliti kandungan ucapan-ucapan saya yang mempunyai implikasi jauh lebih besar terhadap masa depan UMNO dan negara.

Malah MT juga tidak mengikut prosedur tatatertib. Saya tidak diberikan surat tunjuk sebab dan tempoh masa untuk membela diri. Saya tidak dihadapkan ke Lembaga Disiplin untuk membolehkan lembaga membuat perakuan kepada MT. Ahli biasa pun diberikan peluang untuk membela diri sedangkan saya terus dihukum. Nampaknya MT tidak sabar-sabar untuk menggantung saya. Walau bagaimanapun, saya tidak akan merayu.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa pada peringkat awalnya, beberapa pemimpin utama UMNO datang menemui saya mengadu hal mengenai pelbagai skandal yang menyelubungi Najib dan isterinya. Mereka meminta saya melalukan sesuatu untuk memperbetulkan keadaan. Mereka bimbang UMNO akan ditolak oleh rakyat jika Najib terus memimpin parti.

Saya katakan kepada mereka bahawa saya tidak boleh memperbetulkan keadaan secara bersendirian. Saya cadangkan supaya mereka bersama-sama secara kolektif menasihati Najib. Mudah-mudahan dia bersedia untuk memperbaiki kesilapannya demi menyelamatkan UMNO dan negara. Malangnya, mereka tidak berani menasihati Najib.

Akhirnya, apabila keadaan bertambah teruk saya mengambil tanggungjawab untuk menegur Najib dalam pertemuan empat mata bersamanya, dalam mesyuarat kabinet, mesyuarat MT dan kemudiannya dalam platform parti secara terbuka. Apabila saya mula bersuara, orang-orang yang sebelumnya datang menemui saya mula menjauhkan diri daripada saya. Hari ini, orang-orang inilah yang paling lantang mengecam saya.

Saya tidak berduka dengan apa yang terjadi kepada diri saya. Namun saya berasa jengkel. Apa sudah jadi dengan sistem nilai di dalam UMNO? Telah terhapuskah nilai-nilai kejujuran, keikhlasan dan keberanian untuk menyatakan yang hak dan menentang yang batil? Telah leburkah semangat perjuangan dalam diri pemimpin UMNO? Atau, apakah yang bermaharajalela hanyalah nafsu kuasa yang penuh muslihat dan tipu daya?

Barangkali sistem nilai dalam UMNO telah punah. Mereka yang berkepentingan tidak lagi dapat membezakan mana yang benar dan mana yang salah. Yang diutamakan bukanlah matlamat asal perjuangan parti, tetapi kepentingan diri. Akibat daripada ini UMNO akan rosak dan ditolak oleh rakyat.

Hari demi hari, kredibiliti dan imej negara juga semakin terjejas. Keadaan ekonomi semakin tidak menentu, rakyat dihimpit masalah kos sara hidup yang semakin meningkat manakala ruang demokrasi dan kebebasan semakin tertutup. Mereka yang lantang mengkritik Najib ditahan di bawah undang-undang keselamatan, portal berita atas talian disekat dan suara-suara yang menentang ditekan dengan pelbagai ugutan.

Najib juga sedang mengukuhkan kuasanya. Peguam Negara memberikan alasan paling tidak munasabah untuk menolak pendakwaan ke atas Najib walaupun mempunyai bukti yang kukuh. Hanya kerana dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, Peguam Negara tidak berani mendakwa Najib. Institusi seperti SPRM dan Bank Negara tidak dapat berfungsi dengan sempurna kerana ditekan oleh mereka yang berkuasa. Akta Majlis Keselamatan Negara pula digubal untuk memberi kuasa kepada Perdana Menteri mengisytiharkan kawasan keselamatan yang impaknya sama seperti pengisytiharan darurat.

Dalam menghadapi kemarahan rakyat terhadap kepimpinannya, Najib menggunakan segalakuasa yang
ada padanya untuk menekan suara yang menentang dan mendiamkan pengkritik. Kita sebenarnya sedang menyaksikan keruntuhan institusi demokrasi dan kemunculan seorang diktator baharu.

Saya akan terus bersuara untuk menegakkan kebenaran dan menuntut reformasi institusi (institutional reform) yang lebih menyeluruh. Kuasa Perdana Menteri untuk menasihati Yang Di-Pertuan Agong dalam pelantikan dan pelucutan jawatan Peguam Negara mesti dihadkan. Oleh kerana Yang Di-Pertuan Agong dalam menjalankan kuasanya di bawah Perlembagaan bertindak atas nasihat Perdana Menteri, maka sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri boleh terlepas daripada pendakwaan jenayah dengan hanya menasihati Yang Di-Pertuan Agong supaya melucutkan jawatan Peguam Negara.

Jika Peguam Negara bukan seorang yang berani, maka Perdana Menteri akan menjadi seorang yang amat berkuasa dan kebal di sisi undang-undang. Dia boleh dengan sewenang-wenangnya melakukan apa sahaja jenayah dan terlepas daripada sebarang hukuman. Ini bukanlah sesuatu yang adil malah amat bertentangan dengan prinsip bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang.

Selain itu, Jabatan Peguam Negara, SPRM, Bank Negara dan Polis Di-Raja Malaysia mesti dipastikan bebas untuk menjalankan fungsi masing-masing tanpa diganggu-gugat oleh sesiapapun. Peranan mereka di bawah Perlembagaan dan undang-undang negara mesti diperkukuhkan. Kuasa Perdana Menteri dalam pelantikan ketua-ketua agensi ini mesti dihadkan untuk membolehkan mereka bertindak secara bebas dan telus.

Saya fikir, episod hitam yang berlaku di Malaysia sedang mematangkan kita. Jika kita mahu melihat Malaysia kembali menjadi sebuah negara yang dihormati dan rakyat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera, maka kita mestilah bersedia untuk bersama-sama menuntut perubahan. Ia bukan sekadar mendesak Perdana Menteri supaya berundur, tetapi menolak institusi politik yang telah gagal dalam memenuhi aspirasi rakyat. Ketepikan sentimen kaum, agama dan ideologi untuk membentuk suatu konsensus atau muafakat rakyat ke arah mewujudkan sebuah kerajaan yang adil, amanah dan berintegriti.

Saya menghargai semua pihak yang menyatakan sokongan untuk terus berjuang bersama saya. Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah lebih awal menyatakan sokongan kepada saya. Kepada kedua-dua mereka saya ucapkan terima kasih. Kepada pemimpin akar umbi UMNO terutamanya Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) yang berani berkata benar saya ucapkan tahniah. Saya juga amat menghargai pendirian UMNO Pagoh yang tidak gentar mengharungi badai gelombang bersama saya. Marilah kita terus berjuang!

Rakyat mesti bangkit untuk menentang kezaliman dan kemungkaran. Selamatkanlah Malaysia.  Saya bersedia untuk bersama-sama anda dalam perjuangan ini. Jangan takut kerana yang Maha Berkuasa ialah Allah s.w.t.

Allahu Akbar!
MUHYIDDIN YASSIN
27 Februari 2016

Thursday, 25 February 2016

Sunday, 7 February 2016

1MDB - Perdana Menteri derhaka kepada Raja Raja Melayu?


1.​ Sudah empat bulan berlalu sejak Majlis Raja-raja mengeluarkan kenyataan mengenai 1MDB di Istana Negara pada 7 haribulan Oktober, 2015. Kenyataan tersebut menyentuh mengenai keprihatinan Majlis terhadap “keresahan dan kebimbangan Rakyat apabila kredibiliti dan integriti Kerajaan dalam melaksanakan amanah Rakyat mentadbir negara” dikritik.

2.​ Jelas daripada kenyataan tersebut, Majlis melihat bahawa “keamanan dan kemakmuran negara yang perlu berlangsung dalam suasana politik yang stabil dan Rakyat dapat hidup dalam harmoni” boleh terjejas teruk dengan kontroversi 1MDB.

3.​ Oleh itu, Majlis telah menitahkan semoga siasatan terhadap 1MDB diselesaikan secepat mungkin dan “penemuan siasatan dilaporkan secara lengkap dan telus supaya Rakyat dapat diyakinkan akan keikhlasan Kerajaan yang sama sekali tidak akan melindungkan fakta dan kebenaran.”

4.​ Persoalannya, setelah empat bulan berlalu adakah Kerajaan Persekutuan pimpinan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak telah patuh kepada titah KeBawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu melalui Majlis Raja-raja yang merupakan harapan terakhir bagi Rakyat memohon dan merayu perlindungan, lebih-lebih lagi apabila Kerajaan Persekutuan, khususnya Perdana Menteri telah tidak diyakini Rakyat?

5.​ Adakah dengan hanya beberapa kenyataan oleh Menteri yang dilihat mengkais ketepi titah KeBawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, dan tiada respon dari Perdana Menteri sendiri sudah memadai untuk dianggap sebagai jawapan kepada persoalan yang ditimbulkan oleh Majlis? Wajarkah titah KeBawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu ditepis sebegitu rupa tanpa apa-apa respon yang beradab dan munasabah?

6.​ Perlu diingatkan bahawa kenyataan Majlis berakar dari cambahan rungutan yang disembah maklum oleh Rakyat. Majlis tidak akan mengendahkan aduan dan rintihan daripada Rakyat jelata itu jika difikir ianya tidak berasas. Jelas sekali, apabila Majlis Raja-raja mengeluarkan kenyataan yang ditujukan khas kepada Kerajaan Persekutuan mengenai 1MDB, ianya bukan sesuatu yang boleh diremeh dan tidak diendahkan.

7.​ Dalam ucapan saya di Istana Anak Bukit bagi menyembah tahniah bagi pihak Kerajaan Negeri dan seluruh Rakyat Kedah Darul Aman sempena Ulang Tahun Keputeraan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah yang ke-88 pada 17 haribulan Januari, 2016, saya telah sentuh perkara ini dengan ungkapan :
“ Bagi pihak seluruh Rakyat, Patik bimbang akan kemerosotan nilai penghormatan terhadap Institusi DiRaja dan Islam. Rakyat sentiasa menjunjung tinggi naungan Sultan sebagai payung negeri dan negara. Namun, apabila titah Tuanku tidak dijunjung, ianya membangkitkan kemarahan Rakyat kerana titah Sultan dan Majlis Raja-raja Melayu tidak boleh dipandang remeh. ”

8.​ Pada ketika itu, saya sudah dapat lihat betapa titah Majlis Raja-raja tidak diambil serius oleh Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan, walhal titah itu mencerminkan keresahan Rakyat. Malah sejak kenyataan tersebut dikeluarkan, tidak ada apa-apa perkembangan yang meyakinkan Rakyat bahawa siasatan ke atas isu 1MDB itu berjalan mengikut lunas undang-undang, dan satu kesudahan yang boleh diterima semua akan terhasil.

9.​ Sebaliknya, Perdana Menteri seolah-olah menjadi suara rasmi 1MDB, mempertahan segala tindakan 1MDB, dan cuba mengaburi pandangan Rakyat dengan pengumuman-pengumuman tidak relevan seperti pembayaran balik hutang-hutang 1MDB.

10.​ Di suatu majlis bersama rakan-rakan seperjuangan dalam UMNO di Saloma Bistro, Jalan Ampang di Kuala Lumpur pada 11 haribulan Disember, 2015, saya telah sentuh mengenai keengganan dan kegagalan Perdana Menteri, Menteri-menteri tertentu dan Arul Kanda menjawab soalan-soalan yang telah dikemukakan oleh pelbagai pihak yang resah dengan kes 1MDB. Walaupun secara berseloroh, namun maksud tersirat saya itu amat difahami oleh semua pihak yang mendengar ucapan tersebut. Malah, Dato’ Seri Najib sendiri menyatakan kepada saya bahawa ucapan itulah yang menimbulkan rasa marah beliau terhadap saya, mengakibatkan saya dijatuhkan sebagai Menteri Besar Kedah.

11.​ Pokok pangkalnya, soalan yang ada di dalam pemikiran seluruh Rakyat Malaysia, dan saya fikir termasuk Majlis Raja-raja juga ialah apakah yang terjadi kepada berbillion-billion wang Rakyat yang telah dipinjam dari cagaran aset negara dan dibelanja oleh 1MDB atas persetujuan dan kelulusan Pengerusi Panel Penasihatnya iaitu Perdana Menteri sendiri. Itulah soalan yang paling utama ditanya berulang-ulang kali oleh semua pihak.

12.​ Namun begitu, “jawapan” yang diberikan ialah bahawa dalam masa enam bulan lagi semua hutang-hutang itu akan dilangsaikan dengan penjualan saham anak-anak syarikat 1MDB dan aset.

13.​ Apabila soalan pokok tidak dijawab walaupun ditanya berulang kali, dan penerangan yang diberikan (termasuk melalui cetakan buku-buku oleh pihak JASA) tersasar dari soalan pokok dan cuba mengelirukan Rakyat dengan maklumat-maklumat yang tidak relevan, maka mahu tidak mahu terbentuklah andaian bahawa ada fakta dan kebenaran yang hendak disembunyikan oleh Dato’ Seri Najib.

14.​ Oleh yang demikian, menjelang Mesyuarat Majlis Raja-raja yang akan berlangsung pada 17 dan 18 haribulan Februari, 2016 ini, dengan penuh hormat dan takzimnya saya merayu kepada KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku-Tuanku  Sultan dan Tuan Yang Terutama Yang DiPertua-Yang DiPertua Negeri semoga mengarahkan Peguam Negara, Gabenor Bank Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Ketua Audit Negara, dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara untuk melaporkan kepada Majlis Raja-Raja mengenai siasatan-siasatan mereka mengenai 1MDB secara telus dan benar tanpa melindungi mana-mana pihak.

15.​ Jika ini tidak dapat dilakukan, atau berlaku campurtangan oleh pihak yang disiasat, atau laporan-laporan yang diterima tidak dipercayai, maka saya merayu kepada Majlis Raja-raja untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi mendedahkan kebenaran mengenai 1MDB secepat mungkin.

16.​ Sesungguhnya, dalam tempoh lebih setahun ini, kes 1MDB dan lain-lain isu membabitkan Perdana Menteri telah membelenggu negara. Tahap keyakinan Rakyat terhadap kewibawaan dan integriti Kerajaan Persekutuan yang diterajui Dato’ Seri Mohd Najib semakin terhakis apabila beberapa pihak berkuasa luar negara membuat kenyataan mengenai siasatan yang telah mereka lancarkan ke atas beberapa transaksi mencurigakan yang melibatkan 1MDB. Ini termasuklah siasatan yang dijalankan oleh Pejabat Peguam Negara Switzerland terhadap kes penyelewengan dana yang membabitkan 1MDB.

17.​ Sambil Rakyat meratapi nasib negara, dunia memerhati masalah demi masalah yang menimpa Malaysia, dan tertanya-tanya kenapa ini boleh berlaku dan apa kesudahannya. Rata-rata seluruh dunia mencemuh dan memandang serong terhadap Malaysia yang dikatakan antara negara yang paling korup sekarang. Adakah kita masih boleh memejam sebelah mata dan bersikap toleran lagi?

18.​ Perkara yang saya bangkitkan ini adalah soal kepentingan negara. Janganlah sesiapapun cuba mengalih perhatian Rakyat dengan mempolitikkan kenyataan saya ini. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberi petunjuk dan hidayah, melindungi negara dan seluruh warganya dari malapetaka, khususnya dari angkara manusia sendiri.


DATO’ SERI HAJI MUKHRIZ TUN MAHATHIR
Mantan Menteri Besar Kedah Darul Aman
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah
ADUN Ayer Hitam
Keniaan Akhbar -  07 haribulan Februari, 2016

Saturday, 6 February 2016

Bersatu selamatkan Malaysia


KENYATAAN YB TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN

Dalam beberapa waktu ini, saya mengambil sedikit masa untuk menyelami persoalan-persoalan yang sering berlegar di fikiran saya berkenaan hal-hal yang berlaku di negara kita pada waktu ini. Ikhlas saya katakan, sebagai seorang yang telah lama berkecimpung dalam dunia politik dan berpengalaman terlibat secara langsung dalam pentadbiran negara, tidak pernah terlintas di fikiran saya bahawa kita akan berada dalam situasi yang serumit hari ini.
Ke mana-mana sahaja saya pergi, pasti ada orang yang bertanya apa sudah jadi dengan Malaysia. Ternampak di wajah mereka satu perasaan yang sukar digambarkan. Kecewa, putus harap, bimbang, berang semuanya ada. Malah ada yang mengatakan bahawa mereka sudah naik mual dengan apa yang berlaku. Mereka sudah tidak percaya lagi kepada orang yang diamanahkan untuk memimpin kerana ramai yang mengkhianati amanah.
Ketika rakyat sedang bergelut dengan masalah kos sara hidup, beban cukai GST, kejatuhan nilai matawang, kehilangan pekerjaan, ada pemimpin yang disahkan menerima kemasukan wang berbilion ringgit ke dalam akaun peribadi, dan wang ini digunakan untuk perbelanjaan peribadi. Lebih menyedihkan, antara sumber wang ini adalah daripada syarikat yang mendapat dana daripada tabung awam.
Namun, amat pelik apabila penerimaan wang yang bersumberkan dana awam oleh seorang pemimpin negara tidak dianggap sebagai satu kesalahan. Malah, siasatan ke atas laporan salah laku dan rasuah melibatkan orang berkenaan diarahkan ditutup.
Apa sudah jadi dengan negara kita? Kita tahu bahawa sebelum ini terdapat penjawat awam, ahli perniagaan dan ahli politik yang disiasat, didakwa dan akhirnya dihukum kerana menyalahgunakan dana awam dan menerima rasuah. Tetapi dalam skandal kewangan terbesar di negara kita yang melibatkan 1MDB dan SRC International, tiada sesiapa pun didakwa.
Malah terdapat pihak yang secara terang-terangan mempertahankan dan melindungi salah-laku orang-orang tertentu walaupun saya tahu jauh di sudut hati mereka, mereka juga tahu apa yang berlaku.
Di manakah nilai kejujuran, kebenaran dan keadilan yang kita semua sanjung? Adakah nilai-nilai ini sudah tiada ertinya lagi? Adakah yang bertakhta cuma sikap rakus dan tamak haloba untuk merebut kesenangan dunia semata-mata?  Atau, adakah seluruh jiwa telah diselimuti oleh perasaan takut dan bimbang untuk menyatakan kebenaran dan menghapuskan kebatilan?
Saya perhatikan masalah besar yang sedang melanda negara kita ialah ketiadaan roh perjuangan untuk berpegang kepada prinsip-prinsip murni dalam kehidupan. Kerana itu berlaku masalah pecah amanah, tiada tanggungjawab terhadap rakyat dan mungkin tiada perasaan takut kepada balasan Allah s.w.t.
Kemelut yang berlaku nampaknya seperti tiada kesudahan. Misteri kehilangan wang dan harta negara tidak akan terungkai, walaupun bagi yang mengetahui ia seperti rompakan di siang hari. Pelbagai cerita akan terus direka untuk mengaburi mata rakyat demi melindungi salah laku individu tertentu. Keadilan yang ditagih tidak akan tertegak dengan mudah. Awan gelap akan terus meliputi negara kita untuk beberapa ketika.   
Walupun jelas tergambar perasaan duka dan kecewa di wajah orang-orang yang saya temui, termasuk sahabat handai dan mereka yang tidak saya kenali, jauh di sudut hati mereka masih menaruh harapan. Harapan agar Malaysia dapat diselamatkan. Supaya Malaysia kembali pulih dan tidak menjadi sebuah negara yang gagal.
Ini permulaan kepada satu perjuangan. Perjuangan untuk memulihkan Malaysia. Perjuangan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara lebih baik. Kerana kita semua berhak untuk menikmati setiap kebaikan yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada negara kita.
Jika bersendirian kita tidak akan punya kekuatan. Tetapi jika kita semua bersatu hati, membuka minda dan nurani untuk melihat kebenaran, melawan kemungkaran dan bertindak untuk menjadikan masyarakat dan negara kita lebih baik daripada hari ini, maka nescaya kita akan berjaya jua akhirnya.
Bagi saya, dalam hidup kita mesti ada prinsip. Prinsip yang paling utama ialah berpihak kepada kebenaran. Jangan sekali-kali kita berpihak kepada kebatilan. Sebagai seorang Muslim, ini adalah tuntutan agama.
Justeru, saya tidak akan berpaling daripada perjuangan menegakkan kebenaran. Saya yakin, seluruh rakyat Malaysia berpendirian yang sama dan saya akan terus bersama-sama anda dalam perjuangan ini!
Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa ke hadrat Allah s.w.t. mudah-mudahan kita semua sentiasa diberikan kekuatan oleh-Nya. Amin Ya Rabbal Alamin!
TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
5 Februari 2016

Monday, 1 February 2016

SKANDAL 1MDB - SUDAH-SUDAHLAH TU !



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Nampaknya tiada keinsafan langsung di dalam hati Perdana Menteri dalam kemelut jijik yang tercetus akibat kelemahan diri beliau sendiri. Saban hari rakyat Malaysia dihidangkan dengan episod demi episod pembohongan oleh agen-agen serta para penasihat beliau bagi menutup jenayah jijik yang menjerumuskan negara ini ke dalam kancah penuh keserabutan. Bukan itu sahaja. Imej negara di arena antarabangsa turut terjejas dengan buruk sekali.

Baru-baru ini Peguam Negara tampil mengumumkan keputusan beliau terhadap hasil siasatan SPRM. Kononnya Perdana Menteri tidak melakukan apa-apa kesalahan bersabit "wang derma RM2.6 billion" dan penyelewengan wang negara dalam SRC. Saya tidak tahu di mana beliau belajar undang-undang  tetapi bagi orang seperti saya hasil siasatan SPRM itu amat jelas menunjukkan wujud salahlaku jenayah. 

Betapakan tidak, dokumen carta aliran keluar masuk wang dalam SRC dan akaun bank peribadi Perdana Menteri yang dipamirkan oleh Peguam Negara itulah yang turut saya perolehi dan berbincang dengan pihak SPRM sewaktu saya masih memegang jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1 dulu. Ketika itu saya aktif membantu Taskforce 1MDB yang ditubuhkan khas untuk menyiasat penyelewengan dalam entiti tersebut. Ibarat sudah terang lagi bersuluh. Mengapa dengan mudah Peguam Negara mengenepikan bukti ini. Bukan sekadar RM42 juta malahan berpuluh juta ringgit lagi digubah di dalam akaun ini dan dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri. 

Tidak kah Peguam Negara nampak bukti-bukti ini??? 

Berapa banyak dari wang negara ini yang telah diguna untuk menjelaskan hutang piutang kad kredit PM??? 

Cepat sungguh Peguam Negara dapat membaca hati PM dengan mengatakan bahawa PM tidak tahu menahu asal usul wang SRC itu!!! Jika PM menyatakan bahawa beliau tidak tahu wang tersebut adalah 'Public Fund' atau wang kerajaan mengapa sehingga saat ini pun beliau tidak MENGEMBALIKAN SEMULA wang tersebut kepada kerajaan ??? Ingat ya......bukan RM42 juta sahaja tetapi ada berpuluh juta lagi yang masih belum diisytiharkan.

Saya juga ingin bertanya di sini samada wang berbillion billion yang "didermakan" itu sudah dibayar cukai ataupun belum??? Jika belum, saya mohon LHDN menagih cukai tersebut supaya penderma misteri tersebut sedar bahawa di Malaysia ada undang-undang berkaitan dengan "derma" se macam ini.

Wahai Peguam Negara, ingatlah kuasa mutlak yang diberikan oleh Perlembagaan Negara itu wajib digunakan untuk melindungi kepentingan negara. Bukannya untuk menegakkan benang yang basah!!! Kuasa tersebut bukannya untuk digunakan sesuka hati bagi MELINDUNGI JENAYAH. 

Jika Peguam Negara kurang yakin dengan segala bukti yang telah dikemukakan oleh SPRM maka aktifkan semula Special Taskforce 1MDB yang sekarang ini hanya tinggal nama sahaja. 

Saya menawarkan diri untuk sama-sama tampil membantu taskforce ini menyiasat salahlaku pengurusan 1MDB. Saya amat yakin dengan kejujuran Tan Sri Zeti, Tan Sri Abu Kassim, Tan Sri Gani Patail dan saya sanggup berjumpa Tan Sri Khalid, KPN, untuk mendedahkan banyak bukti lain. 

Sungguh janggal sekali apabila Peguam Negara bertindak mengarah siasatan kes ini dihentikan oleh semua pihak dan failnya ditutup. Amboi amboi amboi !!! Mudah sekali ya tugas dan tanggungjawab Peguam Negara yang baru ini. Mengapa rendah sangat martabat diri??? Siapa kah yang ditakuti........hantu, toyol, iblis, syaitan, puaka ??? 

Saya CABAR Peguam Negara agar bertindak dengan penuh amanah dan jujur supaya memberikan alasan-alasan untuk membuktikan PM tidak melakukan sebarang kesalahan dalam kes ini.

Menyentuh tentang wang derma RM2.6 billion. Ish...ish...ish... Cukuplah dengan segala pembohongan ini. Mengapa takut sangat nak dedahkan identiti penderma tersebut jika hamba Allah ini benar-benar wujud. Mengapa berdolak  dalik dalam memberi jawapan sehinggakan Timbalan Perdana Menteri pun terpaksa 'masuk daun' untuk 'akun' (slang orang Sabah bagi perkataan 'mengaku') bahawa kononnya beliau telah bertemu dengan wakil penderma tersebut??? 

Sudahlah!!! Jangan perbodohkan orangramai. Fokuskan tugas itu untuk membasmi gejala judi cybercafe dan dadah yang berleluasa hampir di seluruh negara. Sudah berpuluh ribu belia di negara ini yang rosak akhlak akibat ketagihan benda-benda haram ini. Jangan cemar integriti diri sendiri untuk kepentingan politik.

Pendedahan Peguam Negara bahawa sebahagian besar wang "derma Arab halimunan" ini telah dikembalikan  sungguhlah menakjubkan. Sekarang saya ingin bertanya, bolehkah Peguam Negara tunjukkan bukti bagaimana, caramana serta institusi bank mana atau syarikat mana proses pemulangan wang ini dilakukan ??? 

Jika tidak boleh dijelaskan maka wajarlah Peguam Negara segera mengeluarkan arahan kepada SPRM untuk mendapatkan bukti-bukti tersebut di luarnegara menerusi  peruntukan MLAT. Saya amat yakin jejak wang atau money trail ini akan membuktikan bahawa penderma RM2.6 billion itu sebahagian besarnya adalah MITOS yang SENGAJA direka untuk menutup bangkai gajah.

Kepada Perdana Menteri saya ingin menyeru agar bertindak berani sebagai seorang Pahlawan Bugis. Beranikan diri untuk tampil sendiri memberi penjelasan. Bukankah itu salah satu ciri pahlawan??? Sedarlah bahawa diantara sifat2 kepahlawanan jati termasuklah berani bercakap benar....berani menggadai nyawa demi mempertahankan  pertiwi.....tegas melawan kejahatan.....membela orang yang teraniaya..... 

Di antara ciri-ciri PENGECUT pula termasuklah menggunakan oranglain sebagai jurucakap untuk menabur fitnah bagi mengalih tumpuan dari isu ....mengguna harta kekayaan untuk menutup kebenaran......menggunakan duit untuk membeli kesetiaan.....menggunakan agensi kerajaan untuk mengugut dan menggertak pegawai kerajaan......mengikut telunjuk isteri secara membabi buta. 

Sedarlah bahawa sifat2 keji ini dimurkai Allah SWT. Sudahlah tu......sudah cukup kalut keadaan dalam negara masakini. Sampai bila episod penganiayaan ini akan berakhir??? 

Tidakkah ada perasaan keinsafan dan belas ihsan dalam diri apabila melihat negara dalam keadaan begini. Percayalah bahawa orangramai semakin jelik dan meluat melihat telatah pemimpin politik demi pemimpin politik mengeluarkan kenyataan bohong bagi menutup bangkai gajah ini. Kalau kita pergi ke Mekah seminggu sekalipun dosa kita tidak akan terhapus dengan sebegitu mudah.

Ada pihak yang berpandangan bahawa skandal 1MDB ini tidak akan ada kesudahannya kerana PM terlalu kuat pengaruhnya hinggakan Presiden OBAMA sendiri akan menggunakan kuasa veto presiden untuk menghentikan siasatan pihak FBI ke atas kes MONEY LAUNDERING di Amerika. Nonsense !!! Kononnya pihak FBI terpaksa menunggu Presiden Obama mengakhiri tempoh jawatan presidennya pada bulan september depan. Nonsense!!! FBI tetap FBI. Pandai, pandai tupai melompat....

Kepada teman2 saya di dalam media arus perdana saya doakan agar datuk/dato semua dikurniakan Allah SWT kesedaran diri serta dibekalkan kekuatan untuk berani berkata benar. Aamiin. Jangan bertindak berpaksikan sesuatu ideologi yang jelas menyimpang dan sempit. Terimalah hakikat bahawa negara sedang dilanda krisis kepercayaan orangramai akibat perbuatan rasuah dan penyelewengan pemimpin tertinggi kita sendiri. Selagi pemimpin terbabit tidak berani berterus terang maka krisis ini akan berlarutan. Ia tidak ada kena mengena dengan ISIS!!! 

Elakkanlah taktik melaga-lagakan orang Melayu dengan orang Cina. Isu penyelewengan 1MDB ini tidak ada kena mengena dengan cubaan kaum Cina nak memalukan pemimpin Melayu. Majoriti orang Melayu sendiri mahukan penjelasan ikhlas dari pemimpin yang bertanggungjawab. Hentikanlah usaha jahat nak "membeli kesetiaan" akhbar SINAR tu. ...dan kita akan tengok dalam masa terdekat ini samada penyakit BODEK ini akan turut dijangkiti oleh FREE MALAYSIA TODAY

Kepada orangramai saya merayu agar tidak terpengaruh dengan pelbagai cerita2 yang menyentuh peribadi pegawai2 tinggi SPRM yang bakal ditonjolkan oleh agen2 jahat tersebut bagi mengalihkan tumpuan. Ia ditimbulkan dengan niat MENGALIH TUMPUAN dan untuk melaga-lagakan pegawai SPRM. Taktik hina ini hanya layak digunakan oleh manusia yang PENGECUT. 

Agen-agen yang mabuk kuasa dan arak serta "giler"duit ini akan terus bertindak untuk menghakiskan kredibiliti SPRM dengan pelbagai cerita dengan harapan orangramai akan meragui keikhlasan agensi ini. Jangan bimbang RAKYAT BUKAN BODOH.  Agen-agen jahat ini sedia mempunyai KECACATAN pada imej dan diri masing-masing. Yang menghairankan saya ialah ada di kalangan PEMBODEK ini pada suatu ketika dulu pernah mendabik dada lantang mengkritik amalan rasuah dan penyelewengan!!! Tetapi dalam sekelip mata buat U-turn 180 darjah. 

Kepada semua pegawai SPRM saya menyeru supaya jangan sekali-kali takut dengan gertakan/ugutan sesiapapun. Pertahankan kesucian peranan dan tanggungjawab agensi. Jalankan kerja dengan niat yang ikhlas demi kepentingan negara. Contohilah integriti agensi anti rasuah negara jiran kita, Indonesia. Para pegawai KOMISI PEMBERANTASAN KORUPSI di negara tersebut berani dan telus bertindak tanpa memilih bulu. Orangramai dapat merasakan betapa ikhlas SPRM memainkan peranannya untuk menyingkap segala salahlaku oleh pemimpin2 negara. Just carry on with your tasks without fear or favour......rakyat tahu menilai di antara yang baik dengan yang buruk!!!. KIPIDAP DONGIBAB!!!

Bagi diri saya, in syaa allah, saya yakin bahawa tindakan saya ini tidak menyalahi mana2 undang-undang negara. Sebagai seorang pegawai polis saya telah mengangkat sumpah untuk menjalankan kewajipan saya dengan sebaik2nya bagi memenuhi kehendak Akta Polis. 

Peranan dan fungsi utama saya adalah untuk mengesan dan mencegah jenayah. Undang-undang itu sendiri mengatakan bahawa seseorang itu tidak boleh menyembunyikan sebarang maklumat mengenai perlakuan jenayah. 

Jika KPN mendapat arahan dari langit Putrajaya untuk menangkap saya maka saya redha. Hati ini semakin redha apabila mengenangkan Hari Polis 25 Mac depan semakin hampir. Masih kuat lagi semangat di dalam hati ini untuk menyanyikan lagu POLIS SEDIA BERKHIDMAT. Sewaktu dalam lokap nanti saya akan kumandangkan lagu keramat ini.

Semua manusia mempunyai harga untuk dibeli dan dikompromi. Begitulah kata orang tua-tua dulu. Harga bagi diri saya ialah........mengaku sajalah dan bertaubat. 

Sudahlah tu.....

Salam hormat dan GONGXI FA CAI

ABDUL HAMID BADOR
1 Feb 2016

p/s 

Datuk Hamid Bador ialah bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Polis Di-Raja Malaysia yang 'ditamatkan perkhidmatan' dan ditukar ke Jabatan Perdana Menteri secara tergesa-gesa ketika skandal 1MDB meletus.