Datuk Seri Najib Razak masih mencuba untuk melepaskan diri daripada skandal 1MDB, RM2.6 billion dalam akaun peribadi serta dakwaan menerima RM40 juta daripada SRC International.
Pelbagai jenis dakyah dan fitnah digunapakai tanpa segan silu demi kelangsungan agenda peribadi untuk melepaskan diri walau dengan apa cara sekalipun, 'by hook or by crook'. Sesiapa sahaja yang cuba menegur akan dihina dan 'dimusnahkan' dengan kuasa media yang ada.
Ketika ini giliran Bank Negara pula untuk menerima padah kerana bertindak tegas. Gabenor BNM dicaci cerca manakala 1MDB dilihat kebal, sekebal-kebalnya. Kini derma RM2.6 billion telah menjadi lawak antarabangsa. Seluruh dunia mentertawakan cerita Perdana Menteri Malaysia menerima derma RM2.6 billion dari penderma Timur Tengah yang pemalu orangnya. Kita amat malu. Nama negara tercemar. Kerana seekor kerbau habis semua yang lain terpalit lumpur.
Kita masih menunggu tindakan undang-undang terhadap akhbar The Wall Street Journal berhubung dakwaan bahawa RM2.6 billion itu pun sebenarnya adalah duit yang akan ditanggung oleh rakyat Malaysia sebagai hutang negara.
Skandal SRC International pula agak ketara dan jelas bersama bukti kukuh. Berdasarkan dokumen yang disiarkan The Wall Street Journal/Sarawak Report Najib menerima RM40 juta selepas SRC menerima pinjaman dari KWAP berjumlah RM4 billion. Pinjaman tersebut dijamin oleh kerajaan Malaysia. Najib juga adalah Menteri Kewangan.
Sehingga hari ini The Wall Street Journal serta portal Sarawak Report mempertahankan berita serta dokumen yang mereka siar untuk memperjelaskan aliran wang kedalam akaun peribadi Najib bin Tun Razak. Najib masih belum berani untuk bertindak keatas WSJ.
Jika putar belit berhubung RM2.6 billion dalam akaun peribadi mungkin mengambil masa yang lebih panjang untuk dirungkaikan kerana melibatkan pelbagai pihak asing, kes SRC International amat jelas. Difahamkan pada suatu ketika siasatan kes SRC hampir selesai hingga ketahap pendakwaan. Apa yang berlaku selepas itu adalah pengetahuan umum.
Perlucutan jawatan Peguam Negara, penukaran tergesa pegawai tinggi kerajaan, kenaikan pangkat yang melumpuhkan Jawantankuasa Kira-Kira Wang Negara, gangguan terhadap pegawai-pegawai SPRM dan serangan terbuka terhadap Bank Negara adalah kerana orang yang disyaki ingin mengelak dari dihadapkan ke muka pengadilan.
Pelbagai lagi penyalahgunaan kuasa yang berlaku kini pastinya tidak terlepas dari pandangan rakyat. Semakin hari semakin ramai yang berani bersuara kerana tindakan melampaui batas yang amat ketara. Rakyat Malaysia tidak bodoh, hanya budaya 'tidak apa' kita agak kental.
Sebahagian besar media arus perdana sudah lemah longlai dan lebih gemar membuat liputan hiburan serta lawakjenaka. Ada juga diantara mereka yang semacam seronok diperbodohkan dimata rakyat saban malam. Janji bos nampak kesetiaan yang tidak berbelah bagi, walaupun apa yang dilaksanakan itu tidak berbeza dari perbuatan melacurkan diri. Maaf jika terkasar bahasa tetapi itulah hakikatnya.
Seolah tiada siapa yang pedulikan apa yang benar walaupun hanya kebenaran dapat membebaskan kita dari belenggu ini. Negara kita kini dipersimpangan. Duit ringgit tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah kita jika pembawa bala dan kumpulan kecilnya masih bebas melakukan apa saja.
Institusi penting negara sedang dirobek. Institusi Raja-Raja Melayu pula telah 'di-ingatkan' tentang 'separation of powers' atau pemisahan kuasa sejurus selepas Raja-Raja Melayu menzahirkan kerisauan tentang perkembangan terkini dalam negara dan secara khususnya skandal 1MDB. Apa perlunya 'separation of powers' di-ulang beberapa kali dalam kenyataan balas kerajaan kepada Raja-Raja Melayu?
Apakah sipolan yang menjawab bagi pihak kerajaan tidak sedar bahawa Raja-Raja Melayu bukannya meminta penjelasan berhubung 'separation of powers' tetapi menzahirkan kerisauan istana terhadap masa depan negara dan rakyat?
Masalah yang kita hadapi sekarang menjangkaui politik serta kepentingan mana-mana individu atau kumpulan. Ini bukannya masalah politik dalaman Umno ataupun 'power struggle' dikalangan pemimpin. Ini bukan masalah pertelingkahan diantara parti pemerintah dengan kumpulan parti pembangkang.
Kita mengalami keadaan dimana tahap kepercayaan sebilangan besar rakyat terhadap Kerajaan berada di paras yang amat rendah atau sudah tiada samasekali. Keadaan ini berlaku kerana Perdana Menteri bergelumang dengan pelbagai skandal. Parti yang menunjangi kerajaan pula seakan kaku seperti mayat yang menunggu untuk dikafankan.
Kita tersepit dalam suatu keadaan dimana Perdana Menteri disyaki terlibat dalam jenayah penyalahgunaan kuasa, pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram (AMLA) dan besar kemungkinan rasuah dalam jumlah yang agak besar. Ini hakikatnya.
Najib Razak adalah orang yang disyaki dalam dua kes yang besar. RM2.6 billion dalam akaun peribadi dan kes melibatkan SRC International amat jelas. Siasatan kes SRC International tertangguh kerana beberapa saksi utama telah dilarikan atau melarikan diri keluar negara. Pihak yang menyiasat pula ditekan dengan pelbagai dakyah murahan sehingga penyiasat digambarkan sebagai pesalah.
Pihak SPRM telah memberi jaminan bahawa, walau apapun yang mendatang, siasatan terhadap kes melibatkan SRC International akan disiapkan menjelang akhir tahun ini.
Masih ada yang percaya dengan pembohongan bahawa krisis yang Malaysia hadapi kini hanya sekadar pergolakan politik atau perebutan kuasa dalam parti politik?
Siapa sebenarnya yang mahu rakyat percaya bahawa segalanya adalah masalah politik dan bukannya skandal kewangan negara dan perlakuan jenayah pemimpin yang diberi amanah?
Kemerosotan kita sebagai sebuah negara yang dahulunya disegani kawan dan lawan amat merisaukan rakyat yang mampu berfikir. Malaysia telah menjadi momokan dunia kerana skandal kewangan/rasuah Perdana Menteri. Ini fakta dan bukan propaganda murahan.
Pecah amanah, salahguna kuasa dan rasuah adalah kesalahan jenayah dan bukan-nya masalah politik.
Perbuatan mengkhianati negara bukan politik. Khianat atau 'treason' adalah kesalahan jenayah yang membawa hukuman yang amat berat.
Saya amat bersetuju dengan kenyataan Najib Razak baru-baru ini bahawa skandal 1MDB bukan isu politik dan tidak harus di-politik-kan.
Najib adalah penasihat ulung 1MDB dan beberapa dokumen yang didedahkan baru-baru ini membuktikan bahawa selaku Perdana Menteri serta Menteri Kewangan Najib juga berkuasa penuh dalam segala urusan pelaburan besar 1MDB, termasuk 'pelaburan' yang kini telah bertukar menjadi skandal kewangan antarabangsa. Kuasa penuh juga membawa tanggungjawab sebagai individu yang diamanahkan untuk menjaga khazanah negara.
Skandal 1MDB, RM2.6 billion dalam akaun peribadi serta 'komisyen' RM40 juta dari SRC International, kesemuanya bersangkut paut dengan jenayah dan bukannya politik.
Kepada mereka yang masih cuba mengelirukan rakyat... rakyat Malaysia kini sudah bijak menilai.
Keputusan banci terbaru yang menunjukkan kemerosotan serius sokongan terhadap kepimpinan Najib Razak harus bertindak sebagai pembuka mata kepada yang masih buta hati.
Undurlah Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Anda bukan saja telah gagal sebagai pemimpin tetapi telah merosakkan nama negara ini yang suatu ketika dahulu terkenal diseluruh dunia sebagai pembawa obor bagi negara-negara yang membangun.
Undurlah! Jangan tipu diri sendiri.
REFORMATI SUDAH PETAI
-
*Saya masih ingat sewaktu kecil dulu ada orang pernah mencuri makanan saya.
Lepas itu orang lain pula tuduh saya bodoh - seolah salah saya bahaw...
27 minutes ago