Dibawah adalah tulisan terbaru Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung skandal 1MDB yang dimuatnaik dalam blog beliau tengahhari ini, namun blog chedet.cc Dr M telah digodam dan digantung oleh anasir tidak diketahui.
Apa kata Dr M?
1MDB
1. UMNO
telah mengadakan majlis penerangan tertutup yang dihadiri oleh sebahagian dari
Ketua-Ketua Bahagian pada 8 Mac.
Keputusan majlis mengikut akhbar ialah menyokong penuh Presiden
parti.
2. Tidak diketahui tentang penjelasan oleh
Presiden berkenaan kontroversi 1MDB, yang sedang dibincang dengan meluas oleh
rakyat. Bahawa perkara ini dibawa
oleh parti lawan, justeru itu ia adalah fitnah belaka tidak mencukupi untuk
rakyat menolak tuduhan-tuduhan berkenaan 1MDB.
3. Rakyat masih tidak puas hati berkenaan
1MDB. Mereka bincang perkara ini
dimana sahaja. Jika mereka tidak
puas hati dan tidak sokong Barisan Nasional (BN) dalam PRU akan datang, BN mungkin kalah. Dan jika BN ditolak, sokongan kepada
Presiden oleh pemimpin bahagian UMNO tidak lagi bermakna.
4. 1MDB bukan buat hutang biasa seperti Kerajaan
yang biasanya berjumlah hanya ratusan juta sahaja. 1MDB telah hutang berbillion Ringgit. Walaupun 1MDB bukan
Kerajaan tetapi ia adalah badan yang ditubuh dan dimiliki oleh Kerajaan sepenuhnya
dengan modal sebanyak 1 juta Ringgit. Ada juga jaminan oleh Kerajaan terhadap
beberapa hutang IMDB. Oleh itu Kerajaan
tidak boleh dakwa bahawa ini masalah syarikat dan bukan masalah Kerajaan
5. Kerajaan sudah melantik Auditor General untuk
memeriksa akaun 1MDB. Tetapi ini tidak
akan menjawab banyak soalan yang telah dikemukakan dan dibincang oleh rakyat.
6. Dakwaan-dakwaan yang telah dibuat terhadap 1MDB
bukan berbentuk tuduhan melulu. Ia
disertai dengan fakta yang jelas, iaitu jumlah hutang, siapa yang mengurus,
siapa yang menerima wang berbillion Ringgit, pelaburan yang dibuat, dimana wang ini
disimpan, dalam bentuk apa.
7. Nama Jho Low disebut berkali-kali. Demikian juga nama-nama syarikat
miliknya. Tuduhan dibuat berkenaan
dengan pembelian rumah mewah olehnya di London, New York dan Holywood. Lepas itu rumah dijual kepada anak tiri
Perdana Menteri dengan harga ratusan juta Ringgit. Sudah tentu ini tidak
disebut dalam akaun 1MDB yang akan diperiksa oleh AG.
8. Pada mulanya duit Riza Aziz dikatakan warisan
harta kekayaan dari keluarga Tun Razak.
Kemudian dakwaan ini dinafi. Soalannya jika tidak dari keluarga Tun
Razak dari mana datang wang yang banyak ini. Apakah ianya hasil dari perniagaan? Jika ya, apa perniagaan, dimana? Sudahkah cukai pendapatan dibayar? Kepada Kerajaan mana?
9. Pelaburan ratusan juta untuk filem “The Wolf of
Wall Street” oleh Riza Aziz, anak tiri Dato Sri Najib datang dari mana? Filem ini tidak memberi
keuntungan. Tidak mungkin filem
ini membiayai rumah mewah yang dibeli dengan ratusan juta Ringgit atau Dolar
Amerika.
10. Semua perkara-perkara ini tidak akan terdapat
dalam akaun 1MDB. Tetapi rakyat ingin tahu kerana melibatkan Jho Low. Dan Jho Low disebut-sebut berkenaan dengan pengurusan 700 juta USD
dari 1MDB.
11. Ada yang disebut berkenaan Petro Saudi yang
juga menerima bayaran ratusan juta dolar dari 1MDB Benarkah Petro Saudi ini mendapat konsesi kawasan minyak dan
gas di Argentina, di Turkmenistan dll.
Apa buktinya? Benarkah JV
dibuat dengan Petro Saudi sebelum ‘due diligence’ dibuat. Katanya sementara
1MDB melabur USD1 billion dalam JV dengan Petro Saudi, tetapi Petro Saudi tidak
melabur satu sen pun. Apa jadi kepada wang IMDB dalam JV tidak jelas.
12. Apa sebabnya lebih dari 6 billion Ringgit (Dollar)
disimpan di Cayman Island? Kerajaan
tidak pernah simpan duit di lain negara selain pembelian bond. Apakah bond
dibeli? Apa hasilnya?
13. Katanya wang sebanyak USD1 billion sudah dibawa
balik dari Cayman dan disimpan dalam bank Singapura. Kononnya Bank Negara
menjadi masalah kerana proses menyimpan wang yang banyak mesti melalui proses
yang rumit. Bolehkan Bank Negara jelas kenapa menimbul masalah sedangkan 1MDB
adalah syarikat Kerajaan yang dikuasai oleh Kementerian Kewangan. Jika mudah di
Singapura kenapa susah sangat di Malaysia?
14. Urusan Kerajaan pernah dirahsia. Tetapi soal bayar balik hutang adalah
public knowledge (dalam pengetahuan orang ramai). Orang ramai ingin tahu benarkah Ananda Krishnan memberi pinjam
RM 2 billion untuk bayar faedah ini.
Apakah faedah yang dikenakan oleh Ananda? Apa cara bayaran balik hutang Ananda? 1MDB dikatakan untung.
Kenapa tidak dapat bayar faedah 2 billion Ringgit.
15. Juga diketahui umum ialah permohonan hutang
sebanyak 3 billion dari Kerajaan baru-baru ini. Apakah Kabinet melulus pinjaman yang begitu besar ini? Apakah syarat yang dikenakan? Bagaimanakah
hutang ini akan dibayar balik oleh 1MDB
16. Tanah Kerajaan di Jalan Tun Razak dan Lapangan
Terbang Sungai Besi telah dibeli oleh 1MDB. Apakah harga yang dibayar? Apakah tanah ini yang dikatakan asset 1MDB? Bagaimanakah dinilai harga tanah ini? Kerajaan
berhak mendapat pulangan yang setimpal apabila tanah ini dijual kepada sesiapa
pun. Berapakah harga satu kaki persegi. Tanah berdekatan dijual dengan harga
RM7000/- satu kaki persegi. 1MDB juga membeli tanah di Pulau Pinang. Apa
harganya. Apa jenis pembangunan yang dicadangkan. Sudah dimulakah?
17. Jika tanah-tanah ini menjadi aset 1MDB, apakah
nilai tinggi aset ini disebabkan kenaikan (revaluation) dari harga belian yang
murah dan harga pasaran yang tinggi.
18. 1MDB meminjam lebih dari 10 billion Ringgit
untuk beli beberapa stesyen janakuasa.
Harga yang dibayar dikatakan lebih tinggi dari harga pasaran. Lesen stesyen-stesyen ini akan mati
tidak lama lagi. Kenapa tidak
tunggu hingga lesen mati sebelum membeli.
Harga selepas mati lesen tentu amat rendah. Membeli dengan harga tinggi
sebelum lesen mati amat merugikan.
19. Wang untuk membeli stesyen janakuasa
dipinjam. Laporan menunjuk
komisyen sebanyak lebih dari 10% dibayar kepada Goldman Sachs untuk mengurus
penjualan bond.
20. Jika komisyen 10%, 1MDB akan dapat hanya 90%
dari jumlah yang dihutang. Tetapi
faedah perlu dibayar keatas 100% jumlah hutang. Ini menghairankan!
21. Biasanya hutang yang dijamin oleh Kerajaan dikenakan
faedah 3%. Hutang yang diurus oleh
Goldman Sachs dikenakan faedah sebanyak 5.9%.
22. Jumlah hutang sudah meningkat kepada 42 billion
Ringgit. Faedah keatas jumlah ini,
jika hanya 5% pun akan berjumlah 2.6 billion Ringgit setahun. Ini adalah satu jumlah yang amat besar.
23. Sebaliknya jumlah keuntungan dari pelaburan
dalam stesyen janakuasa tidak akan mencukupi untuk membayar faedah ini. Demikian juga pelaburan untuk beli
tanah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang tidak akan beri apa-apa pulangan sebelum
di bangun atau dijual.
24. Sesungguhnya 1MDB menimbul banyak soalan
tentang pengurusan dan kegunaannya.
Dan jumlahnya juga amat besar.
Rakyat berhak merasa curiga akan cara dan kegunaan wang mereka yang
banyak ini.
25. Ulasan bahawa semua tuduhan adalah fitnah tidak
mencukupi. Mereka yang mendakwa
bahawa ada penyelewengan dalam pengurusan 1MDB berani membuat kenyataan
terhadap Kerajaan dan individu-individu tertentu walaupun terdedah kepada
tindakan saman malu. Tetapi mereka
mendakwa mereka memiliki bukti-bukti yang jelas seperti e-mail, surat
perjanjian dan bukti-bukti lain. Tarikh dan nama-nama diberi tanpa bersembunyi.
Pembohongankah tuduhan mereka!!
26. Sehingga kini Kerajaan tidak menjawab secara
yang masuk akal. Umpamanya 1MDB
tidak punyai masalah kerana asetnya lebih dari hutang. Tetapi hanya untuk bayar
faedah 2 billion, tidak ada wang sehingga tidak dapat tutup akaun ikut jadual.
Kemungkinan terpaksa hutang untuk bayar faedah.
27. Sejak Arul Kanda Kandasamy mengambil jawatan
CEO, banyaklah kenyataannya yang tidak munasabah yang dibuat. Kononnya wang di
Cayman sudah dibawa balik. Kemudian wang ini tidak boleh bawa balik. Kemudian
sudah dibawa balik tetapi disimpan di Singapura.
28. Yang diperlukan bukan audit biasa buku akaun. Yang diperlukan ialah siasatan forensik
oleh polis akan tuduhan yang dbuat terhadap beberapa orang yang terlibat dengan
pengurusan wang 1MDB.
29. Jika ini tidak dibuat dan dibuat secepat
mungkin, sokongan rakyat yang sudah pun merosot dalam PRU 2008, 2013 akan
merosot lagi. Besar kemungkinan BN akan kalah pada 2018, walaupun ketua-ketua
UMNO sokong dan terima dengan puas hati penerangan yang dibuat. Ingatlah undi
orang UMNO sahaja tidak cukup untuk menang pilihanraya.
p/s Pasti ramai yang akan menuding jari dan tidak akan mengaku terlibat dalam serangan ddos/hacking terhadap blog Dr M tetapi kita boleh agak ini angkara siapa. Ini bukan kali pertama kebaculan sedemikian dipamer untuk tatapan umum.