YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD. YASSIN
TIMBALAN PRESIDEN UMNO
DI MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN PERWAKILAN
WANITA, PEMUDA DAN PUTERI UMNO 2012
PADA 27 NOVEMBER 2012; PUKUL 8.00 MALAM
BERTEMPAT DI DEWAN MERDEKA
PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC)
“BERSAMA MELAKAR KEMENANGAN”
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum
warahmatullahi wa barakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
YB Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
Ketua Pergerakan Wanita
YB Sdr. Khairy Jamaluddin
Ketua Pergerakan Pemuda
YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Sirlin
Ketua Pergerakan Puteri
YB Naib-Naib Presiden UMNO
YB Setiausaha Agung UMNO
Ahli-Ahli Majlis Tertinggi
Barisan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri
Saudara-saudari sidang perwakilan dan para pemerhati
sekalian.
1. Alhamdulillah,
UMNO kini berada di persada 66 tahun usianya. Negara kita telah merdeka 55
tahun adanya. Ia datang bersama sebuah pemerintahan dari acuan negara sendiri,
dari pimpinan anak watan sendiri. Selama lebih enam dekad inilah, parti kita
telah mengabdikan diri kepada anak watan, mengubah keadaan, dari selubung kemunduran
dan kemiskinan, kepada cahaya kemajuan dan kemakmuran.
2. Kita
bersyukur, kerana hasil gabungan kebijaksanaan rakyat memilih pemimpin dan
kebestarian pemimpin mengemudi negara, Malaysia kekal aman, makmur dan
sejahtera. Rakyat dari segala rentasan kaum dan agama hidup dalam suasana yang
harmoni, tanpa persengketaan, tanpa kemusnahan. Pada masa yang sama, kita melonjak
ke ambang negara maju dan melakar masa depan yang meyakinkan. Impian kita,
harapan kita, hanyalah membina negara Malaysia yang berjaya dari Perlis hingga
ke Sabah, dan sentiasa berada di bawah naungan Ilahi seperti yang dipohon oleh
Nabi Allah Ibrahim:
وَإِذۡ قَالَ إِبۡرَٲهِـۧمُ رَبِّ ٱجۡعَلۡ هَـٰذَا
بَلَدًا ءَامِنً۬ا وَٱرۡزُقۡ أَهۡلَهُ ۥ مِنَ ٱلثَّمَرَٲتِ مَنۡ ءَامَنَ مِنۡہُم
بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِۖ
Yang bermaksud:
Dan (ingatlah) ketika Nabi
Ibrahim berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini,
negeri yang aman sentosa dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan
kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari
akhirat di antara mereka.
(Surah Al-Baqarah, Ayat 126)
Saudara dan saudari yang saya hormati,
Politik Perkongsian
Kuasa
3. Menghimbau
55 tahun yang lalu, Malaysia berada dalam situasi yang hampir sama seperti di Sri
Lanka, Fiji dan Myanmar ketika negara-negara ini berada di ambang kemerdekaan.
Kesemuanya adalah bekas tanah jajahan British yang mempunyai penduduk berbilang
kaum dan agama. Apabila British terdesak untuk melepaskan penguasaan ke atas
tanah-tanah jajahan mereka, perkara utama yang menjadi persoalan ialah siapakah
selain bangsa pribumi yang berhak mendapat hak kerakyatan, bangsa manakah yang
akan menerajui pemerintahan negara baru itu, dan apakah bentuk negara yang mahu
dibina.
4. Kecuali
di Myanmar, negara-negara ini memilih model politik perkongsian kuasa antara
kaum. Di Sri Lanka, etnik Sinhalis dan Tamil
bersetuju untuk berkongsi kuasa. Namun, persetujuan untuk berkongsi kuasa
sahaja tidak menjamin keamanan dan kestabilan politik yang berkekalan.
Perbalahan kaum tercetus di Sri Lanka selama beberapa dekad selepas merdeka,
sehingga membawa kepada rusuhan, perang saudara, kemusnahan dan
kemunduran.
5. Di
Fiji, etnik imigran yang ibu bapa mereka berhijrah ke negara itu semasa
penjajahan British telah diberikan hak kerakyatan apabila Fiji mencapai
kemerdekaan pada tahun 1970. Dengan hak kerakyatan, mereka juga mempunyai hak
yang sama dengan Bumiputera Fiji untuk terlibat dalam politik dan ekonomi.
Malangnya, kerana tidak ada usaha untuk meratakan padang permainan, Bumiputera
Fiji yang lebih mundur memberontak sehingga menyebabkan perbalahan dan rampasan
kuasa.
6. Lebih
malang di Myanmar, etnik minoriti Rohingya yang berhijrah ke negara itu semasa
penjajahan British tidak diberikan hak kerakyatan langsung. Tanpa hak
kerakyatan, mereka tidak mempunyai hak untuk terlibat dalam politik, apatah
lagi untuk berkongsi kuasa dengan kaum majoriti. Walaupun Myanmar telah merdeka
selama 64 tahun, etnik Rohingya yang beragama Islam dilayan dengan begitu teruk
sekali. Mereka tidak dibenarkan bekerja dengan kerajaan dan anak-anak mereka dihalang
daripada bersekolah di sekolah kerajaan. Hatta untuk mendapatkan rawatan di
hospital pun mereka menghadapi kesukaran. Tidak cukup dengan itu, rumah-rumah
mereka dibakar, tanah-tanah mereka dirampas dan keluarga mereka dihalau keluar dari
bumi Myanmar. Bagi orang Rohingya, bumi yang mereka pijak ibarat neraka dunia.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
KEBIJAKSANAAN POLITIK
UMNO: MUAFAKAT UNTUK BERKONGSI KUASA
7. Alhamdulillah,
kita di Malaysia tidak mengalami krisis politik dan perkauman yang parah
seperti yang dialami di negara-negara lain, walaupun kita mempunyai lebih
banyak bangsa, kaum dan suku kaum. Negara kita dipagari daripada malapetaka besar
yang menggugat keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Dengan izin Allah s.w.t kita
dapat hidup dalam suasana yang aman, stabil dan makmur hingga ke hari ini.
8. Kesemua
ini pastinya tidak terjadi dengan sendiri. Sudah tentulah ada sebab musabab yang
menjadikan negara kita kekal aman, makmur dan sejahtera. Sebab yang utama ialah
kebijaksanaan pemimpin kita terdahulu memilih acuan politik perkongsian kuasa yang
berteraskan semangat persefahaman, pemuafakatan, setiakawan dan tolak ansur antara
parti-parti politik yang mewakili pelbagai kaum sewaktu itu, iaitu UMNO, MCA
dan MIC. Apabila Barisan Nasional dibentuk pada tahun 1974, muafakat kita
semakin kukuh dengan lebih banyak parti-parti yang mewakili pelbagai etnik dan
suku kaum bergabung, termasuk dari Sabah dan Sarawak.
9. Sepanjang
lima dekad pemerintahan Barisan Nasional, muafakat yang dicapai untuk
memerintah negara secara bersama tidak pernah kita ingkari. Janji untuk bekerjasama
dan berkongsi kuasa tidak pernah kita nodai. Prinsip ini sentiasa kita pupuk
dan suburkan, dan kini menjadi pasak kekuatan Barisan Nasional.
10. Alhamdulillah,
meskipun ada kalanya kita diduga dengan pelbagai cabaran dan tuntutan, meja
rundingan Barisan Nasional sentiasa dapat menawarkan penyelesaian kepada semua
perkara yang berkait dengan kepentingan semua kaum. Kerana itu Malaysia kekal aman,
stabil dan makmur hingga ke hari ini.
11. Meskipun
begitu, bagi puak yang keras dan melampau dalam pemikiran dan tindakan politik,
mereka sentiasa mengapi-apikan semangat perkauman dan agama yang sempit bagi
menagih laba politik. PAS sebagai contoh pernah menuduh UMNO sebagai parti
sekular, parti taghut, parti mustakbirin, parti fir’aun, parti kafir
semata-mata kerana kita bekerjasama dengan rakan-rakan bukan Islam dalam
Barisan Nasional.
12. Begitu
juga dengan MCA, MIC dan parti-parti komponen lain dalam Barisan Nasional.
Apabila mereka menerima pendirian UMNO dalam perkara yang berkait dengan
kepentingan orang Melayu, DAP dengan cepat menuduh mereka sebagai parti yang
lemah, atau parti pak turut yang sanggup menggadai kepentingan kaum bukan Melayu,
semata-mata untuk mengecap nikmat kuasa bersama UMNO. Malah, DAP menuduh UMNO
sebagai parti rasis dan parti ultra-Melayu, semata-mata untuk membangkitkan kebencian
orang bukan Melayu terhadap UMNO dan Barisan Nasional.
13. Sebenarnya
saudara-saudari, PAS dan DAP berbuat begitu semata-mata untuk menarik sokongan
kaum tertentu kepada parti mereka. PAS menggunakan sentimen agama yang sempit
untuk menghasut orang Melayu membenci UMNO dan menyokong mereka. DAP pula
menggunakan sentimen perkauman yang melampau untuk menghasut orang bukan Melayu
membenci MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti lain dalam Barisan Nasional, supaya orang bukan Melayu menyokong
mereka. Semuanya ini dilakukan atas dasar kepentingan politik yang jumud dan
politik serakah, tanpa mengira kesannya ke atas perpaduan masyarakat berbilang
kaum dan agama di negara kita.
14. Hakikatnya,
sejak lebih lima dekad yang lalu, parti yang membawa fahaman politik benci dan
fitnah, yang membakar sentimen agama dan perkauman bukannya UMNO, bukannya MCA,
bukannya MIC, bukan juga parti-parti komponen BN yang lain. Sebaliknya ia didalangi
oleh PAS dan DAP. Merekalah yang mengamalkan politik ultra perkauman dan
membawa fahaman songsang mengenai agama yang memecah belahkan masyarakat kita. Kononnya
undi PAS masuk syurga, sembelihan orang UMNO tidak halal, solat berimamkan
orang UMNO tidak sah. Malah, mereka sanggup mendoakan kehancuran bagi orang
UMNO yang merupakan saudara seagama mereka. Merekalah yang menyuburkan syak
wasangka, merekalah yang membarakan api fitnah, dan mereka jugalah yang membaja
benih-benih kebencian.
Sutera dilipat habis
dicuci
Tersimpul kemas di dalam
laci
Kalau hati berkarat
benci
Terpacul di mulut nista
dan caci
PEMBANGKANG TIADA PERSEFAHAMAN, TIADA MUAFAKAT
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
15. PAS
dan DAP masih tebal dengan sentimen kaum dan agama. Mereka masih sangat berbeza
dari segi ideologi dan pendirian politik. Setelah bertarung sesama sendiri,
kini PAS dan DAP melakonkan sebuah pengkisahan kerjasama politik yang cuba ditiru
daripada kejayaan Barisan Nasional. Hakikatnya, watak-watak dan pelakon utama
semuanya mahu menguasai plot dan jalan cerita, serta menjadi teraju. Sehingga
ke hari ini PAS dan DAP sentiasa bersengketa, bertelagah dalam tiap perkara,
dan bercakaran kerana ideologi yang jelas berbeza.
16. Mari
kita lihat tiga senario di tiga buah negeri yang diperintah oleh mereka. Di
Pulau Pinang misalnya, DAP tidak mahu berkongsi kuasa pun dengan PAS. Walaupun
PAS mempunyai satu kerusi dalam Dewan Undangan Negeri, wakil rakyat PAS
sehingga kini tidak dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri. DAP sebaliknya lebih
rela menyerahkan portfolio agama kepada PKR. Walhal, sebagai parti yang mengaku
memperjuangkan Islam, wakil rakyat PAS lah yang sepatutnya diberikan
kepercayaan oleh DAP, untuk menjaga hal ehwal Islam di Pulau Pinang. Nampaknya,
DAP tidak percaya kepada PAS.
17. Di
Kedah pula, wakil rakyat tunggal DAP tidak berada dalam barisan Exco Kerajaan
Negeri yang dikuasai oleh PAS. Hari ini, apabila kerajaan PAS Kedah membuat
peraturan atau dasar yang condong kepada Islam, yang menentang bukannya wakil
rakyat BN, tetapi DAP. Ini membuktikan bahawa DAP bukan sahaja tidak mahu
berkongsi kuasa dengan PAS, malah menentang dasar Islam PAS.
18. Di
Selangor, seorang Exco PAS dan Exco DAP pernah bertelagah mengenai
penguatkuasaan undang-undang Islam
di negeri itu. Bagi parti DAP yang sekular, bukan sahaja hudud tidak
patut dilaksanakan, malah undang-undang pencegahan maksiat yang termaktub dalam
enakmen undang-undang Islam negeri juga tidak wajar dilaksanakan. Akibat
pertelagahan ini, Exco PAS berkenaan dipecat dari Exco Kerajaan Negeri dan
parti, dan portfolio agama Islam yang sebelum ini dipegang oleh beliau, diambil
alih oleh Menteri Besar dari PKR.
19. Ternyata,
PAS hanya melukut di tepi gantang. PAS tidak berkongsi kuasa dengan DAP dan
PKR. Sebaliknya, kuasa yang sepatutnya diberikan kepada PAS dirampas oleh DAP
dan PKR. Sungguh malang bagi PAS. Bagai kisah si lebai malang. Di sini tak
dapat, di sana pun melepas. Bak kata orang Pulau Pinang, Balik Pulau Bayan
Lepas, Sini Terpelau Sana Terlepas. PAS berhempas
pulas menarik sokongan orang Melayu, tetapi akhirnya yang berkuasa ialah DAP
dan PKR. Bagi DAP dan PKR, PAS hanyalah kuda tunggangan, tukang sorak dan
tukang takbir untuk mereka merebut kuasa.
Saudara dan saudari,
20. Cuba
kita bayangkan, jika sekarang pun PAS tidak mempunyai tempat dalam pakatan
pembangkang, apakah ada jaminan bahawa PAS boleh menegakkan Islam menerusi
pakatan pembangkang? Saya pasti saudara dan saudari yang berada di dalam dewan
ini, dan juga tuan-puan yang mengikuti ucapan saya di luar sana, tahu apa
jawapannya. Tidak mungkin PAS boleh menegakkan negara Islam. Sebab itulah
awal-awal lagi sekarang ini, PAS sudah mendendangkan lagu negara berkebajikan,
bukan negara Islam.
21. Selama
ini pun PAS sedar, sepanjang 12 kali pilihanraya umum, bilangan kerusi yang
mereka tandingi kebanyakannya kurang separuh daripada jumlah keseluruhan kerusi
di Parlimen. Misalnya, dalam pilihanraya tahun 1969, PAS bertanding di hanya 62
daripada 144 kerusi Parlimen, tahun 1990 bertanding di 29 daripada 180 kerusi
parlimen, tahun 1995 bertanding di 59 daripada 192 kerusi parlimen, tahun 1999
bertanding di 59 daripada 193 kerusi parlimen, tahun 2004 bertanding di 85
daripada 219 kerusi parlimen, dan tahun 2008 bertanding di hanya 66 daripada
222 kerusi parlimen.
22. Ironinya,
jika PAS menang di semua kerusi yang ditandingi sekalipun, PAS tidak boleh
membentuk kerajaan untuk menegakkan negara Islam seperti yang dicanangkan. Apatah
lagi, pencapaian terbaik PAS ialah memenangi 26 kerusi dalam pilihanraya umum
1999. Saudara-saudari, PAS hanya menang semua kerusi yang ditandingi sewaktu
berada dalam Barisan Nasional dalam pilihanraya 1974. Manakala, dalam semua
pilihanraya yang lain, jumlah kerusi yang PAS kalah lebih besar daripada jumlah
kerusi yang dimenangi.
23. Berbeza
dengan UMNO, sepanjang sejarah pilihanraya di negara kita, jumlah kerusi yang
kita tandingi dan menang dalam pilihanraya membolehkan kita menjadi parti teras
dalam kerajaan. Dengan kedudukan ini, UMNO mampu melaksanakan dasar-dasar yang
selaras dengan perjuangan parti berlandaskan musyawarah dengan parti-parti
komponen dalam Barisan Nasional.
24. Mungkin
PAS akan mengatakan kepada kita tidak mengapa bertanding sejumlah kerusi yang
kecil, kerana nanti ahli-ahli parlimen PKR dan DAP akan menyokong mereka untuk
menegakkan Islam. Janganlah bermimpi di siang hari. Janganlah berbohong kepada
pengundi. Jauh panggang dari api. Takkanlah DAP yang rasis lagi cauvinis,
takkanlah PKR yang rosak lagi merosakkan, akan menyokong usaha PAS untuk
menegakkan Islam. Cukuplah. Cukuplah sepanjang 12 kali pilihanraya, 12 kali PAS
berbohong kononnya parti itu berjuang untuk menegakkan Islam. Janganlah kita
biarkan PAS berbohong lagi untuk kali ke-13.
25. Dengan
kedudukan PAS yang lemah, agak pelik bagi kita apabila dalam Muktamar PAS baru-baru
ini, ada perwakilan parti itu yang mencadangkan Presiden mereka sebagai calon
Perdana Menteri pakatan pembangkang. Seperti yang kita jangka, DAP awal-awal
lagi tidak bersetuju Presiden PAS menjadi calon Perdana Menteri. Persoalannya,
bolehkah Presiden PAS menjadi Perdana Menteri jika jumlah kerusi yang ditandingi
dan dimenangi oleh parti itu adalah kecil, dan DAP pula tidak menyokong mereka?
Tentu sekali jawapannya tidak boleh.
26. Jika
tidak boleh, dan saya pasti mereka pun tahu ianya tidak boleh, mengapa
dikemukakan juga cadangan itu? Bagi kita ini menunjukkan bahawa ahli-ahli akar
umbi PAS tidak meletakkan kepercayaan kepada DAP atau PKR untuk mengetuai
pakatan pembangkang. Mereka tidak percaya kepada Lim Guan Eng. Mereka tidak
percaya kepada Lim Kit Siang. Mereka juga tidak percaya kepada Karpal Singh.
Mereka langsung tidak percaya kepada Anwar Ibrahim. Ini adalah satu kegagalan
besar bagi PAS dalam membentuk kerjasama dan berkongsi kuasa dengan DAP dan
PKR.
27. Sebenarnya
saudara-saudari, konsep berkongsi kuasa tidak pernah wujud dalam pakatan pembangkang.
Mandat rakyat yang diberikan kepada mereka dalam pilihanraya yang lalu untuk
mememerintah beberapa buah negeri adalah satu hikmah yang mendedahkan kepada
kita bahawa mereka sebenarnya tidak boleh bekerjasama dan berkongsi kuasa. Satu
sebab yang paling utama ialah tiadanya sikap saling mempercayai antara mereka. PKR
tidak percaya kepada DAP, DAP tidak percaya kepada PKR, dan kedua-dua DAP dan
PKR tidak percaya kepada PAS.
28. Cuba
bayangkan saudara-saudari, jika masing-masing tidak percaya antara satu sama
lain, bolehkah pembangkang bermuafakat sesama mereka? Bolehkah pembangkang
memerintah negara dengan aman? Bolehkah pembangkang membawa kesejahteraan
kepada rakyat? Boleh atau tidak saudara-saudari? Jika tidak jawapannya, pastikan
kemenangan berpihak kepada kita dalam pilihanraya nanti.|Jangan kita serahkan
negara kita ini untuk diporak-perandakan oleh pembangkang.
CABARAN IDEOLOGI: ISLAM, KEBEBASAN DAN DEMOKRASI
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
29. Kita
sedang berhadapan dengan tentangan ideologi baru. Kononnya atas nama kemunculan
politik baru, politik pembebasan, politik global, politik kuasa ketiga, wacana
hak dan kebebasan individu mengatasi lingkungan agama, budaya dan moral. Di
kalangan parti-parti politik tertentu, mereka akan mengutip apa sahaja ideologi
yang memberi kelebihan kepada mereka, hatta berkongsi ideologi songsang sekalipun.
30. Di
peringkat antarabangsa, telah muncul kumpulan yang memperjuangkan ideologi
songsang yang berteraskan pemikiran sekular liberal yang bertentangan dengan
agama. Misalnya, kumpulan yang memperjuangkan hak golongan lesbian, gay,
biseksual dan transgender yang dianggap sebagai kelompok minoriti yang
tertindas. Undang-undang negara yang hanya mengiktiraf perkahwinan antara
lelaki dan wanita dianggap oleh kumpulan ini sebagai tidak adil, malah zalim
kepada mereka.
31. Hari
ini, mereka semakin berpengaruh. Banyak kerajaan menerima tekanan supaya
mengiktiraf hak golongan songsang untuk melakukan perkara yang ditegah oleh
agama. Mereka turut melobi supaya hak golongan songsang ini dimasukkan dalam
Deklarasi Hak Asasi Manusia Asean di Sidang Kemuncak Asean di Phnom Penh
baru-baru ini.
32. Alhamdulillah,
Malaysia di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak menolak keras
cadangan ini, kerana bagi kita amalan yang bertentangan dengan prinsip agama
dan fitrah manusia tidak boleh dibiarkan berleluasa. Bayangkan, apa yang akan
terjadi kepada anak-anak kita, keluarga kita, masyarakat kita dan agama kita
jika amalan songang ini dibiarkan menular. Kita bersyukur, negara-negara Asean
lain bersetuju dengan pendirian Malaysia, dan cubaan untuk mengiktiraf amalan
yang bertentangan dengan prinsip agama, moral dan fitrah manusia sebagai satu
hak gagal.
Saudara-saudari yang saya hormati sekalian,
33. Di
negara kita, ideologi songsang ini sudah menembusi benteng politik pembangkang.
Kerana itu, sejak akhir-akhir ini kita lihat pandangan Ketua Pembangkang agak bercelaru. (Bingong) Satu ketika, beliau tanpa segan dan silu mengeluarkan kenyataan bahawa
undang-undang jenayah negara kita yang menghalang perlakuan liwat adalah satu
undang-undang yang kolot. Sedangkan kita semua tahu (ketibaan Datin Seri Rosmah Mansor) bahawa perbuatan terkutuk
itu ditegah oleh Islam, dan juga oleh agama-agama lain. Jika undang-undang itu kolot,
maka apakah Ketua Pembangkang hendak mengatakan bahawa hukum Allah juga kolot? (MasyaAllah)Janganlah kerana perlakuan songsang ini dibenarkan di Barat, dan diterima
sebagai hak asasi manusia oleh mereka, maka dia pun turut hendak menghalalkannya. (Bahaya, hobi dia kot)
34. Selain
itu, baru-baru ini kita juga dikejutkan oleh kenyataan seorang Naib Presiden
PKR. Atas nama kesamarataan hak, beliau mengatakan orang Melayu yang beragama
Islam juga wajar diberikan hak kebebasan beragama, sepertimana yang diamalkan
oleh penganut-penganut agama lain. Sedangkan kita tahu bagi umat Islam, seluruh
kehidupan kita dipandu oleh syari’at Allah. Tidak mungkin hak untuk murtad
boleh terpakai untuk umat Islam. (Tak mungkin. Yang cakap ni siapa? Anak Ketua Pembangkang)
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
35. Inilah
sisi hodoh ideologi demokrasi dan kebebasan yang cuba dibawa oleh pakatan
pembangkang. Mereka cuba merungkaikan asas-asas agama Islam yang telah terpahat
kukuh di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Perkara seperti ini tidak pernah
berlaku di negara kita sebelum ini. Tidak pernah ada pemimpin Islam yang tergamak
bersuara menghalalkan gaya hidup songsang dan murtad. Tetapi hari ini, atas
sebab ingin meraih undi dan merebut kuasa, lantaran angan-angan mahu ke
Putrajaya, semuanya boleh sahaja.
36. Inilah
sebenarnya bahana besar yang dibawa oleh pembangkang. Kita di dalam UMNO tidak
boleh alpa. Ingatlah, UMNO adalah parti yang berjuang untuk menegak dan
mendaulatkan Islam. Bangkitlah menjadi benteng mempertahankan masyarakat kita daripada
diasak oleh ideologi songsang pembangkang. Jangan biarkan mereka menembusi jiwa
anak-anak kita. Jangan biarkan mereka meracuni pemikiran masyarakat kita.
Jangan biarkan mereka merungkai asas-asas agama kita. Kita yakin rakyat akan
terus bersama UMNO dan Barisan Nasional untuk mempertahankan nilai-nilai murni
yang cuba dinoda oleh pembangkang.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
37. Walaupun
pembangkang menjanjikan bulan, bintang, matahari dan cakerawala apabila
bercakap mengenai demokrasi dan kebebasan, mereka tidak mengotakan apa yang janjikan.
Seperti yang disimpulkan dengan begitu tepat sekali oleh YAB Presiden, antara sisi
hodoh budaya pembangkang ialah bila berhutang tak perlu dibayar, bila menerima
tak perlu berterima kasih, bila berjanji tak perlu ditepati. Jika
saudara-saudari ingat, dalam manifesto pembangkang dahulu, tercatat janji untuk
memberikan bermacam-macam kebebasan kepada rakyat kalau mereka berkuasa,
termasuk janji kebebasan media.
38. Namun,
belum pun sempat mereka berkuasa, pembangkang telah awal-awal lagi memungkiri
janji mereka. Hari ini, apabila ada akhbar yang mendedahkan kepincangan mereka,
mereka bergegas ke mahkamah menyaman akhbar berkenaan. Jumlah saman bukannya
sedikit. Misalnya, nilai saman mereka ke atas sebuah akhbar arus perdana sejak
tahun 2008 mencecah 1 bilion ringgit. Dengan jumlah sebesar ini, pembangkang di
negara kita mencipta rekod dunia mengemukakan jumlah saman yang paling besar
kepada sebuah akhbar.
39. Mereka
berharap akhbar-akhbar di negara kita tidak lagi berani mendedahkan hakikat kepincangan
dan keburukan mereka. Selain itu, pembangkang juga menghalang akhbar-akhbar
tertentu daripada membuat liputan di majlis-majlis yang dianjurkan oleh mereka,
termasuk di sidang-sidang Dewan Undangan Negeri. Inilah sebenarnya taktik kotor
pembangkang untuk menutup kepincangan dan membisukan pengkritik mereka.
40. Inilah
wajah sebenar pembangkang. Apabila terkena batang hidung sendiri, mereka lupa
janji, lupa diri, lupa segalanya. Lebih memalukan, mereka lupa bahawa merekalah
yang menabur fitnah ke serata dunia bahawa mahkamah kita tidak adil, mahkamah
kita berat sebelah, mahkamah kita zalim. Tetapi apabila terdesak, merekalah
orang yang paling awal berkejar ke mahkamah untuk mendapatkan perlindungan.
Sebenarnya mereka tahu bahawa mahkamah kita boleh memberikan keadilan kepada
sesiapa sahaja termasuk mereka. Tetapi kerana niat jahat mereka untuk
memberikan gambaran buruk tentang negara kita kepada masyarakat antarabangsa, mereka
sanggup menabur fitnah.
41. Samalah
juga dengan tindakan Ketua Pembangkang meminta campurtangan kerajaan asing
untuk memastikan pilihanraya kita bersih, bebas dan adil. Dia hendak berbohong
kepada dunia kononnya pilihanraya kita kotor. Inilah satu lagi pengkhianatan
kepada negara. Semata-mata kerana dengki dan niat jahat terhadap kerajaan
Barisan Nasional, dia tergamak meminta campurtangan asing dalam hal ehwal
politik negara kita. (Jangan kita biarkan dia berkuasa dan menjadi Perdana Menteri)
42. Bagi
kita, ini hanyalah taktik kotor orang yang bermimpi untuk menawan Putrajaya, awal-awal
lagi mengatakan pilihanraya di negara kita tidak adil. Barangkali dia pun sudah
tahu bahawa pembangkang akan kalah dalam pilihanraya nanti. Jadi, lebih baik
dibuat propaganda awal bahawa pilihanraya negara kita tidak adil, supaya
apabila mereka kalah dalam pilihanraya, senanglah untuk mereka menuduh bahawa
kita tidak berlaku adil kepada mereka. Senang jugalah untuk mereka berhimpun
di jalan-jalan raya bagi menolak
keputusan yang telah dibuat oleh rakyat.
43. Kita
fikir lebih baik Ketua Pembangkang menjemput wakil negara asing untuk memerhati
pemilihan PKR. Kita hendak tengok apa komen pemerhati asing mengenai PKR.
Bersihkah pemilihan PKR? Bebaskah pemilihan PKR? Adilkah pemilihan PKR? Demokratikkah
PKR apabila Ketua Pembangkang mengangkat dirinya sendiri menjadi Ketua Umum
parti tanpa melalui proses pemilihan? Malah jawatan itu pun tidak ada dalam Perlembagaan
parti. Apakah sah kedudukan Ketua Pembangkang dalam partinya sendiri? Perkara
seumpama itu hanya boleh berlaku dalam sebuah parti yang dikuasai oleh seorang
diktator, bukan sebuah parti yang mengamalkan demokrasi. Daripada Ketua Umum,
Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, parti itu ibarat Parti Keluarga dan
Rakan-Rakan (PKR).
44. Kesemua
ini tidak membayangkan mereka komited untuk melaksanakan janji demokrasi. Sudahlah
komitmen kepada Islam semakin luntur, komitmen kepada demokrasi pun tidak ada. Bagi
kita, parti-parti pembangkang tidak ada keabsahan moral untuk bercakap mengenai
Islam atau demokrasi.
45. Demokrasi
yang sebenar terlaksana apabila kerajaan mendengar rintihan, denyut nadi dan
suara hati rakyat, apabila kerajaan melaksanakan dasar yang memenuhi aspirasi
rakyat, apabila kerajaan membela nasib rakyat, apabila kerajaan menghapuskan
ketidakadilan sosial yang mengancam perpaduan rakyat. Tiada maknanya demokrasi
jika masih ada rakyat hidup melarat. Matlamat demokrasi tercapai apabila setiap
rakyat dapat mengecap kehidupan yang sejahtera dalam negara yang makmur. Inilah
yang diperjuangkan oleh UMNO untuk bangsa Melayu dan seluruh rakyat Malaysia.
JAMINAN UMNO UNTUK BANGSA MELAYU
Saudara-saudari,
46. UMNO
terus komited untuk membela bangsa Melayu. Usaha-usaha untuk meningkatkan taraf
sosio-ekonomi orang Melayu diteruskan melalui insiatif-inisiatif yang diputuskan
oleh Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera yang dipengerusikan sendiri oleh YAB
Perdana Menteri. Usahawan-usahawan Melayu dan Bumiputera akan terus diberikan
peluang untuk mendapat manfaat limpahan ekonomi yang sedang pesat berkembang.
Hari ini, dengan pelbagai inisiatif yang diambil oleh kerajaan menerusi
agensi-agensi yang diwujudkan untuk memperkasa agenda Bumiputera, pegangan
ekuiti Bumiputera telah meningkat dari 2 peratus pada tahun 1970 kepada 23.09
peratus pada tahun 2010, dengan nilai sebanyak 167.7 bilion ringgit. Ini adalah
satu pencapaian yang menakjubkan bagi parti kita dan bangsa kita. InsyaAllah,
dengan pelbagai usaha yang sedang dilaksanakan pada waktu ini, kita akan
berjaya mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera menjelang tahun
2020.
47. Begitu
juga dengan perjuangan Islam. UMNO tidak pernah menggadai prinsip perjuangan
Islam, malah sentiasa berusaha untuk memartabat dan meningkatkan syiar Islam.
Sistem pendidikan Islam kita martabatkan, sistem undang-undang Islam kita
pertahankan, sistem ekonomi Islam kita majukan. Hari ini dunia melihat Malaysia
sebagai contoh negara Islam yang terbaik. Dengan kedudukan negara kita yang
agak lebih ke hadapan berbanding negara-negara Islam yang lain, kita dapat pula
membantu saudara Islam kita di seluruh dunia. Kita telah membantu saudara kita
di Bosnia, di Gaza, di Myanmar dan di mana sahaja mereka memerlukan bantuan
kita. Alhamdulillah, berkat kebijksanaan pimpinan negara kita, Malaysia baru
sahaja membantu menyelesaikan konflik Bangsamoro di Filipina. Semua ini adalah
hasil perjuangan UMNO untuk memartabatkan Islam.
48. Sepanjang
66 tahun UMNO memperjuangkan Melayu dan Islam, UMNO tidak pernah menganiaya
mana-mana kaum. Inilah keadilan UMNO. Inilah kesaksamaan UMNO. Pejuang UMNO tidak
perlu merasa berdosa dan bersalah berada di atas landasan perjuangan UMNO. UMNO
berjanji untuk terus membela bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya.
Justeru, UMNO akan terus mengangkat suara Melayu di samping tidak melupai
agihan keadilan untuk kaum-kaum lain seperti yang dituntut oleh agama. Firman
Allah s.w.t. dalam al-Qur’an:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ
قَوَّٲمِينَ لِلَّهِ شُہَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّڪُمۡ شَنَـَٔانُ
قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ
وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ
Wahai orang-orang yang
beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan
keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali
kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan
keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil
itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
(Surah Al Ma’idah, Ayat 8)
49. Saudara
dan saudari yang berada di dalam Dewan Merdeka ini, dan juga yang sedang
mengikuti ucapan saya di kaca-kaca televisyen, atau di corong-corong radio di
luar sana, pak-pak haji yang baru pulang dari masjid, ibu-ibu yang sedang
melayani anak-anak di rumah, pemandu-pemandu teksi yang sedang mencari rezeki
di kota, para pekerja yang sedang berbakti kepada negara, para anggota
keselamatan yang sedang menjaga keamanan kita, mahasiswa yang sedang mentelaah
pelajaran di universiti, pemuda-pemuda yang sedang merenung masa hadapan, inilah
komitmen UMNO dan Barisan Nasional, inilah janji UMNO dan Barisan Nasional. Kita
sentiasa berusaha untuk mentransformasi negara, dan mensejahterakan rakyat tanpa
perlu menggadai prinsip perjuangan yang murni. Inilah bezanya antara kita dan
pembangkang. Tatkala pembangkang semakin terdesak untuk meraih undi dan merebut
kuasa, mereka sanggup melakukan apa sahaja, termasuk menggadai prinsip moral,
maruah bangsa dan kesucian agama.
50. Renungkanlah
saudara dan saudari. Tilik betul-betul apa yang dijaja oleh pembangkang dan apa
yang dikota oleh UMNO dan Barisan Nasional. Walaupun pembangkang mempamerkan
kepada kita bahawa merekalah yang akan membawa sinar kesejahteraan kepada
rakyat, janganlah kita terpedaya. Sinar yang mereka janjikan itu ibarat kilauan
sekeping kaca yang hanya menanti saat retak dan pecah berderai. Kita pasti
rakyat yang matang lagi bijaksana dapat membezakan antara kepalsuan kaca dan ketulenan
permata.
BERSAMA MELAKAR KEMENANGAN
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
51. Kita
sedang berada di tengah pertarungan politik yang akan menentukan survival
parti, masa depan bangsa dan kedudukan negara. Saudara-saudari yang berhimpun
ini adalah lambang kekuatan perjuangan di tengah-tengah pertarungan ini. Dalam pusingan
terakhir persiapan menghadapi pilihanraya, saudara-saudari di negeri, bahagian
dan cawangan telah bekerja kuat untuk memastikan kemenangan UMNO dan Barisan
Nasional dalam pilihanraya nanti. Sebagai Timbalan Presiden dan Pengarah
Pilihanraya, saya amat menghargai kegigihan, kesungguhan dan pengorbanan saudara-saudari
mencurahkan bakti kepada parti tanpa mengenal penat lelah. Percayalah, segala
usaha yang dicurahkan oleh saudara-saudari, segala keringat yang menitis ke
bumi, akan menyumbang kepada kemenangan UMNO dan Barisan Nasional. InsyaAllah.
52. Pertingkatkan
gerakerja bagi memenangi pilihanraya. Sebagai barisan hadapan jentera parti,
Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri adalah pasukan tahan lasak parti. Bergeraklah
ke serata pelusuk desa dan kota, harungilah lembah, sungai dan denai, dari
Kangar hingga ke Semporna, julanglah panji perjuangan, insyaAllah kita akan mengarak
obor kemenangan.
53. Gerakkan
jentera di setiap peringkat. Pastikan mereka bersedia turun ke medan perang
apabila semboyan dibunyikan. Atur strategi berkesan untuk menangi hati
pengundi. Pujuklah mereka dengan penuh hikmah. Mudah-mudahan dengan izin Allah
s.w.t., pintu-pintu hati mereka akan terbuka luas untuk menyokong UMNO dan
Barisan Nasional.
54. Ingatlah,
bahawa perpaduan dalam parti adalah kunci utama kemenangan kita. Apabila kita
memilih untuk berada di atas landasan perjuangan UMNO, kita bukan bekerja untuk
diri kita, tetapi berjuang untuk agama, bangsa dan negara. Perjuangan ini tidak
boleh kita lakukan secara bersendirian. Kita memerlukan sokongan dan dokongan
rakan-rakan seperjuangan. Bekerjalah dalam semangat kesatuan hati (wahdatul qalb), kesatuan fikiran (wahdatul fikr), kesatuan matlamat (wahdatul hadaf) dan kesatuan amal (wahdatul amal) untuk meneruskan agenda
perjuangan parti yang suci.
55. Yakinlah
bahawa kita berada di pihak yang benar. Matlamat UMNO mempertahankan Islam, membela nasib
bangsa Melayu, memelihara kedaulatan negara dan mensejahterakan rakyat tanpa
mengira kaum dan agama adalah perjuangan suci yang kita galas hingga ke saat
ini. Dengan asakan pelbagai dakyah songsang yang merungkai asas-asas agama,
yang mencabar maruah bangsa, yang mengancam kedaulatan negara, maka landasan
perjuangan suci UMNO mesti kita perkukuhkan.
56. UMNO
di bawah kepimpinan YAB Presiden selaku Perdana Menteri sedang menerajui
transformasi yang besar untuk negara kita. UMNO telah merasai denyut nadi rakyat. Menerusi program
transformasi kerajaan, ekonomi dan politik, sentuhan pembaharuan UMNO sedang
dirasai oleh segenap lapisan masyarakat. Baik petani, nelayan dan pekebun kecil
di desa, pemandu teksi dan peniaga di kota, golongan pekerja, profesional dan
penjawat awam, kesatuan sekerja dan pertubuhan bukan kerajaan, remaja, belia
dan mahasiswa, malahan golongan gelandangan dan kurang bernasib baik, semuanya
sedang merasai sentuhan UMNO.
57. Kita
akur bahawa transformasi adalah satu proses yang berterusan. Kita tahu bahawa
masih banyak rintangan dan cabaran yang menanti. Walau apapun, demi menjamin
masa depan Malaysia yang lebih makmur dan sejahtera, marilah kita redah segala
rintangan, kita harungi segala dugaan, kita atasi segala cabaran. Marilah kita
berikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada YAB Presiden untuk memimpin
parti dan negara. Marilah kita berikan sepenuh
ketaatan kepada khalifah yang akan memimpin bala tentera kita. Firman Allah
s.w.t dalam al-Qur’an al-karim:
أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِى
ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ
Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada
"Ulil-Amri" (yakni orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.
(Surah Al-Nisa’, Ayat 56)
58. Kepada
Wanita, teruskanlah, perhebatkanlah, semarakkanlah perjuangan menjalin rantaian
sokongan. Sebarkanlah kasih sayang UMNO melalui Jalinan Rakyat, Skuad Sayang
dan Salam Sayang. Maralah dengan
merah yang menyala, tiuplah ia hingga menjadi obor yang menerangi jalan-jalan
kemenangan. Wanita UMNO, engkaulah ibu, engkaulah pembimbing, engkaulah
srikandi.
59. Kepada
Pemuda, saudara-saudara lah hulubalang benteng hadapan yang akan mempertahankan
Putrajaya. Gempurlah musuh kita. Pantang anak muda menyerah. Jangan biarkan
walau setapak mereka melangkah. Turunilah ke setiap kota, desa dan lurah.
Dekatilah generasi muda dengan hikmah.Berjuanglah dengan tabah. Adat bertarung
menjunjung maruah. Membujur lalu melintang patah.
60. Kepada
Puteri, permata yang bergemerlapan, sinarilah generasi muda dengan harapan dan
keyakinan. Andalah yang memahami suara hati mereka. Rasailah denyut nadi
mereka. Menangilah hati mereka. Bawalah mereka bersama kita dalam perjuangan
murni melakari masa depan nusa dan bangsa.
61. Kita
tidak gentar menghadapi cabaran zaman. Perteguhkanlah pendirian kita. Perkukuhkanlah
tekad kita. Pertingkatkanlah kebijakasanaan kita. Kita mengajak rakyat tanpa
mengira kaum dan agama, agar bersama-sama kita mempertahankan benteng negara
daripada ditembusi oleh ideologi songsang, dakyah politik jahat dan budaya
sesat yang dibawa oleh pembangkang. Marilah bersama-sama kita mendaulatkan
maruah agama, bangsa dan negara. Marilah kita berdoa ke hadrat Allah s.w.t.
agar kita diberikan kekuatan untuk menghadapi mihnah dan fitnah zaman. Marilah
kita memohon pedoman dari Allah s.w.t. agar ditetapkan hati-hati kita untuk
terus berada di landasan perjuangan yang suci ini. Marilah kita memohon hidayah
dari Allah s.w.t. agar dilembutkan hati-hati kita untuk menerima seruan persaudaraan
dan perpaduan. InsyaAllah pertolongan Allah sentiasa bersama orang-orang yang
berjuang di jalanNya. Firman Allah s.w.t. dalam surah Muhammad, Ayat 7:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تَنصُرُواْ
ٱللَّهَ يَنصُرۡكُمۡ وَيُثَبِّتۡ أَقۡدَامَكُمۡ
Yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu membela (agama) Allah nescaya
Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian
kamu.
62. Pemuda
adalah hulubalang UMNO, Wanita adalah srikandi UMNO, Puteri adalah permata
UMNO. Ayuhlah hulubalang UMNO! Ayuhlah srikandi UMNO! Ayuhlah permata UMNO!
Rapatkanlah saf perjuangan kita. Berjuanglah dengan penuh ikhlas dan yakin membela
agama, bangsa dan negara. Bangkitlah menjulang panji perjuangan. Maralah ke
medan perang. InsyaAllah, berkat kesungguhan kita berjuang, berkat
kebijaksanaan rakyat membuat pilihan, UMNO dan Barisan Nasional akan melakar
kemenangan! Marilah kita sama-sama menadah tangan merafakkan doa:
Bismillahirrahmanirrahim.
Ya Allah!
Jadikanlah perhimpunan ini perhimpunan yang
dirahmati
Janganlah engkau leraikan hati kami dari mentaatiMu
Satukanlah hati-hati kami di jalanMu
Ya Allah Ya Tuhan Kami!
Terimalah doa kesejahteraan buat sekalian kami
Jauhkanlah hati kami daripada menjahanamkan sesama
sendiri
Kembalikanlah mereka yang tersasar ke jalanMu yang
diredhai
Ya Allah
Bimbinglah kami di jalan yang lurus
Redhakanlah jalan perjuangan kami
Tetapkanlah kami di jalanMu Ya Allah
Ya Allah
Engkaulah Tuhan Rabbul Jalil
Engkau kurniakanlah ketabahan di setiap hati kami
Engkau kurniakanlah kekuatan di jiwa kami
Engkau perteguhkanlah daya juang kami
Dengan rahmatmu Ya Allah
Engkau kurniakanlah kemenangan buat kami
fai’za ‘azamta fatawakkal ‘alallah
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim
saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan
Puteri UMNO 2012.
Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wa
barakatuh.
Hidup Umno
1 comment:
Is wht the "CarpetMan" saying the truth!!!!!
Post a Comment